AM

TEKNOLOGI AI BANTU PERCEPAT DAPATAN ANALISA, TINDAK BALAS BENCANA

24/04/2026 05:08 PM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan data di Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) kini membantu mempercepat analisis maklumat, sekali gus meningkatkan kecekapan tindak balas bencana di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Dr Abdul Gapar Abu Bakar berkata data yang diterima daripada jabatan teknikal dan agensi penggerak balas, termasuk Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia membolehkan analisis situasi bencana dilakukan secara lebih menyeluruh dan bersepadu.

“Jadi kita boleh menghantar aset-aset, misalnya dalam keadaan bencana, dengan lebih cepat dan tepat,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai lawatan berpandu sempena ekspo Resilient Asia 2026 oleh NADMA, di sini hari ini.

Beliau berkata penggunaan AI ramalan turut dimanfaatkan oleh agensi teknikal seperti MetMalaysia bagi mengenal pasti keadaan awal cuaca dan perubahan monsun sebelum disalurkan ke pusat kawalan untuk penilaian serta pengeluaran amaran awal.

Selain itu, teknologi dron turut digunakan bagi membantu mengenal pasti kawasan terjejas dengan lebih efisien.

Abdul Gapar berkata susulan penggunaan teknologi berkenaan, Malaysia turut diminta menjadi model global dalam pengurusan bencana oleh beberapa negara termasuk Rusia, Brunei dan Turkiye berdasarkan pengalaman serta amalan terbaik yang dilaksanakan.

Mengulas mengenai ekspo bertaraf antarabangsa itu, beliau berkata penganjurannya selama tiga hari bermula hari ini diadakan untuk memberikan pendedahan kepada orang ramai mengenai pengurusan bencana merangkumi aspek pencegahan, mitigasi, kesiapsiagaan, tindak balas dan pemulihan.

Beliau berkata hari pertama penganjuran menyaksikan kehadiran delegasi dari beberapa negara termasuk Rusia, Timor-Leste dan Qatar, selain lebih 700 pelajar sekolah.

Sebanyak 50 pameran disediakan termasuk 20 penyertaan antarabangsa dari China, Turkiye dan negara Asia lain yang menampilkan pelbagai teknologi terkini dalam pengurusan bencana.

Antara yang menjadi tarikan pengunjung ialah Zon Realiti Terimbuh (AR Zone) dan Zon Imersif yang kali pertama dibawakan untuk simulasi situasi bencana sebenar dan juga demonstrasi penyelamatan oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

Bertemakan AI For Future-Proofing Disaster Management Towards Stronger Communities, ekspo julung kali diadakan itu turut menghimpunkan pakar antarabangsa, agensi teknikal, unit tindak balas, pemimpin teknologi dan pemain industri dari seluruh Asia dalam satu platform strategik yang memfokuskan kepada transformasi pengurusan bencana berteraskan teknologi.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan