Daripada Amirul Mohd Sajadi
MAKKAH, 24 April (Bernama) -- Tanpa perlu mengangkat bagasi atau tercari-cari bilik, jemaah haji Malaysia yang tiba di Makkah dari Madinah menyifatkan proses ketibaan sebagai lancar dan melegakan, membolehkan mereka terus berehat sebaik tiba.
Bagi kebanyakan jemaah, perjalanan yang panjang berakhir dengan satu pengalaman yang dipermudah dan teratur.
“Bila sampai, kami hanya terus masuk bilik. Beg semua sudah ada di depan pintu, memang sangat memudahkan,” kata Nuri Syuhada Soleha Suhaimi, 21, ketika ditemui di Maktab 63, Hotel Al-Tayseer di sini pada Jumaat.
Beliau berkata pendekatan itu amat membantu terutama selepas perjalanan jauh, sekali gus memberikan ruang untuk jemaah berehat tanpa perlu memikirkan urusan lain.
Tinjauan Bernama mendapati Lembaga Tabung Haji (TH) telah membuat persediaan logistik lebih awal di maktab berkenaan, termasuk penyusunan bagasi dan penempatan bilik mengikut kumpulan serta keperluan jemaah.
Seorang lagi jemaah, Martdiyah Ismail, 57, berkata susunan bilik yang menempatkan ahli keluarga berdekatan turut memudahkan urusan sepanjang berada di Tanah Suci.
“Alhamdulillah, selepas keluar senarai nama untuk penginapan, saya bersyukur sebab dapat satu bilik bersama tiga anak perempuan saya. Ini memudahkan,” katanya.
Pergerakan dari lobi ke bilik penginapan juga dilihat teratur dengan kehadiran petugas di beberapa lokasi untuk membantu jemaah.
Sementara itu, Penolong Pengurus Maktab 63, Muhammad Fauzi Muniran berkata semua persiapan dilakukan lebih awal bagi memastikan jemaah dapat melalui proses ketibaan tanpa beban.
“Matlamat kita adalah supaya jemaah boleh terus berehat, dan memberikan tumpuan kepada ibadah. Kami meneliti senarai penempatan lebih awal, khususnya bagi jemaah yang datang bersama keluarga.
“Jika melibatkan ibu bapa dan anak, kami akan pastikan mereka ditempatkan di aras yang sama walaupun berlainan jantina supaya mudah untuk berhubung dan saling membantu,” katanya.
Beliau berkata TH menyediakan tiga jenis bilik berkapasiti tiga, empat dan lima orang dengan kira-kira 70 peratus daripadanya ialah bilik empat orang.
-- BERNAMA
