IPOH, 25 April (Bernama) -- Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah hari ini berkenan berangkat menyempurnakan majlis pelancaran buku “Nobat Diraja Perak: Muzik, Fungsi dan Simbolisme” di Royal Perak Golf Club (RPGC) di sini.
Majlis itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Datuk Dr Arham Abdullah dan Pengerusi Lembaga Pengarah People of Remarkable Talents (PORT) Datuk Khairudin Abu Hanipah.
Arham dalam sembah ucapannya berkata penerbitan buku itu merupakan satu rakaman penting warisan budaya yang mampu memperluaskan pengetahuan serta menjadi rujukan pada masa hadapan.
“Keunikan Kesultanan Perak terletak pada kekayaan adat istiadatnya yang masih utuh dipelihara, antaranya nobat yang menjadi simbol kedaulatan institusi raja.
“Bunyi nobat yang bergema membawa makna mendalam tentang kesinambungan tradisi dan keagungan institusi beraja,” katanya.
Arham berkata UMK dengan kerjasama PORT komited memartabatkan warisan sebagai antara teras penting dalam pembangunan ilmu serta pemeliharaan khazanah budaya bangsa.
"Penerbitan buku ini mencerminkan usaha berterusan UMK dan PORT dalam memperkasa warisan kebesaran diraja sebagai sumber ilmu bernilai tinggi, selain menjadi jambatan yang menghubungkan generasi kini dengan warisan terdahulu.
"Buku ini ditulis oleh Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) UMK Prof Madya Dr Raja Iskandar Raja Halid yang mengangkat kajian etnomusikologi terhadap Nobat Diraja Perak, salah satu warisan kesultanan tertua di Malaysia," katanya.
Karya setebal 260 halaman itu menghuraikan secara terperinci struktur muzik nobat, termasuk aspek tempo, melodi dan irama, selain menjelaskan fungsi setiap repertoir dalam konteks upacara diraja seperti istiadat pertabalan dan majlis rasmi.
Selain itu, buku tersebut turut mengetengahkan kepentingan nobat sebagai alat kebesaran diraja yang bukan sahaja berfungsi sebagai muzik istana, malah melambangkan kedaulatan dan keabsahan pemerintahan.
Buku yang diterbitkan oleh Penerbit UMK dengan kerjasama Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu itu, dicetak sebanyak 1,000 naskhah bagi edisi pertama dan dijual pada harga RM38 senaskhah.
-- BERNAMA
