IPOH, 25 April (Bernama) -- Empat kes pokok tumbang direkodkan di beberapa kawasan sekitar Hilir Perak susulan hujan lebat serta angin kencang yang melanda petang tadi.
Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Hilir Perak Angkatan Pertahananan Awam Malaysia (APM) dalam kenyataan memaklumkan kejadian bermula kira-kira 6 petang melibatkan lokasi di Parit 7A, Parit 7B dan Parit 9A Sungai Manik.
“Kes pertama diterima membabitkan pokok tumbang yang melintang jalan di Parit 7A, sebelum diikuti kes kedua di Parit 9A.
“PKOD kemudian menerima dua lagi laporan masing-masing pada 6.27 petang dan 6.45 petang di sekitar Parit 7A dan Parit 7B, menjadikan empat kes pokok tumbang direkodkan dalam tempoh kurang satu jam,” menurut kenyataan itu.
PKOD Hilir Perak memaklumkan dua jentara operasi bersama tujuh anggota digerakkan bagi menjalankan kerja pemantauan dan pembersihan di lokasi terjejas.
“Laporan akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan anggota APM Hilir Perak masih giat menjalankan operasi bagi menyelesaikan semua kes yang diterima melalui MERS (Malaysian Emergency Response Service) dan orang awam.
“Bagaimanapun, kesemua kejadian ini tidak melibatkan kemalangan jiwa dan hanya berlaku kerosakan kecil membabitkan kediaman sahaja setakat ini,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan 10 negeri hingga 9 malam ini.
MetMalaysia memaklumkan, keadaan cuaca itu dijangka melanda seluruh Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, manakala di Perak pula kawasan terlibat ialah Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.
-- BERNAMA
