SUKAN

PIALA UBER: ZI YU TIDAK JANGKA PIKUL PERANAN PENENTU

25/04/2026 10:00 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar 

HORSENS (Denmark), 25 April (Bernama) -- Beregu muda negara Low Zi Yu–Noraqilah Maisarah tidak menyangka akan berdepan situasi bertekanan tinggi, namun apabila peluang hadir, mereka membuktikan kemampuan apabila menghadiahkan mata kemenangan dalam aksi Kumpulan B Piala Uber 2026 di sini.

Dalam aksi pembukaan di Forum Horsens, selepas terikat 2-2 dengan Turkiye hari ini, tanggungjawab menentukan kemenangan diserahkan kepada pasangan yang membuat penampilan sulung itu — satu senario yang diakui Zi Yu sebagai di luar jangkaan.

“Sudah tentu kami berasa tertekan kerana tidak menjangka kedudukan menjadi 2-2. Namun, kami hanya fokus untuk bermain seperti biasa tanpa terlalu memikirkan keadaan,” katanya kepada Bernama selepas perlawanan.

Seiring pandangan itu, Noraqilah menegaskan kunci kejayaan mereka adalah dengan mengekalkan permainan mudah serta tidak membiarkan situasi genting itu menguasai emosi.

Pasangan Zi Yu–Noraqilah muncul wira tidak diduga negara apabila menyumbang mata penentuan selepas menahan kebangkitan sengit lawan dari Turkiye.

Beregu kedua wanita negara itu mempamerkan ketenangan untuk menewaskan gandingan Yasemen Bektas–Zehra Erdem 21-18, 21-19 dalam tempoh 44 minit sekali gus memastikan Malaysia mencatat kemenangan 3-2.

Sementara itu, kapten pasukan M. Thinaah mengakui beliau bersama gandingannya Ong Xin Yee gagal melaksanakan pelan permainan secara konsisten di bawah tekanan sehingga tewas 22-20, 19-21, 19-21 kepada Bengisu Ercetin–Nazlican Inci dalam perlawanan keempat.

“Prestasi kami agak mengecewakan. Kami memohon maaf kerana gagal menyumbang mata kemenangan buat Malaysia. Kami berharap dapat bangkit lebih kuat selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, perseorangan kedua negara yang juga pemain ranking ke-38 dunia Wong Ling Ching mengakui belum pulih sepenuhnya selepas mengalami kecederaan belakang yang menjejaskan pergerakan serta rentak permainannya di gelanggang.

Pemain berusia 22 tahun itu berkata beliau sudah menjangkakan perlawanan sukar memandangkan tidak menjalani latihan penuh susulan kecederaan yang dialami ketika kem latihan di Herning, Denmark, baru-baru ini.

Beliau tewas kepada pemain ranking ke-78 dunia Ozge Bayrak 17-21, 21-15, 18-21.

Terdahulu, Malaysia meraih mata pertama menerusi perseorangan utama K. Letshanaa yang bertarung hampir sejam untuk menewaskan Neslihan Arin 21-16, 12-21, 21-13, sebelum pemain profesional Goh Jin Wei menyumbang mata kedua hasil kemenangan meyakinkan 21-14, 21-13 ke atas Zehra Erdem.

Malaysia dijadual menentang Afrika Selatan dalam aksi kedua Kumpulan B esok sebelum berdepan Jepun pada Isnin ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan