PUTRAJAYA, 26 April (Bernama) -- Valet NexaGuard Sdn Bhd dan Universiti Selangor (UNISEL) menjalin kerjasama strategik untuk memajukan keselamatan digital proaktif dan pembangunan bakat bagi memperkukuh daya tahan siber negara serta melahirkan graduan yang bersedia menghadapi masa depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Valet NexaGuard Profesor Dr Shaikh Harun Mustafa berkata kerjasama itu menggabungkan kepakaran industri dan akademik bagi melengkapkan golongan muda dengan kemahiran digital penting dan daya tahan keusahawanan, aspek diperlukan untuk berjaya dalam ekonomi digital yang semakin kompleks.
Beliau berkata kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada pembangunan program pensijilan berstruktur dan akademi latihan untuk meningkatkan kemahiran komunikasi, kesedaran digital serta kesediaan industri dalam kalangan pelajar.
“Kerjasama ini bukan hanya tentang pembangunan bakat tetapi juga memperkukuh keselamatan digital negara menerusi langkah yang proaktif. Menangani penipuan hari ini memerlukan peralihan daripada respons reaktif kepada inovasi dan pencegahan berterusan,” katanya kepada Bernama.
Valet NexaGuard ialah organisasi teknologi berteraskan keselamatan di Malaysia yang komited untuk memperkukuh keselamatan digital negara dan mempromosikan pertumbuhan digital inklusif.
Shaikh Harun berkata kedua-dua pihak akan meneroka usaha meningkatkan keselamatan telekomunikasi menerusi pembangunan dan integrasi infrastruktur ValetShield, disokong oleh penyelidikan dan pembangunan yang berterusan.
Beliau berkata sistem itu akan berkembang melalui pembelajaran berterusan berdasarkan trend global mengenai ancaman peringkat rangkaian seperti spam, khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu, penipuan panggilan dan kandungan deepfake.
Bagi melengkapkan kemajuan teknologi, beliau berkata kedua-dua pihak juga akan bekerjasama untuk membangun dan melaksanakan program kesedaran dan keselamatan digital yang diintegrasikan dalam kurikulum akademik pada peringkat awal sebelum diperluas kepada masyarakat awam.
Valet NexaGuard antara tiga rakan kongsi industri yang telah memeterai kerjasama rasmi dengan UNISEL melalui Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, selain Dive Buddy dan Prestige Media.
Kerjasama itu dimuktamadkan melalui memorandum persefahaman (MoU) yang dijangka mewujudkan peluang lebih luas kepada penuntut dalam latihan profesional, mobiliti dan pembangunan kemahiran berasaskan industri.
Melalui kerjasama itu, penuntut mendapat manfaat daripada jalinan akademik-industri yang lebih kukuh melalui pertukaran ilmu, terutamanya dalam penyelidikan dan pendedahan kepada pembelajaran berasaskan pengalaman.
Kerjasama itu juga menyediakan peluang kepada penuntut meningkatkan keupayaan kreatif dan keusahawanan melalui penyertaan dalam projek industri serta latihan praktikal.
-- BERNAMA
