AM

PETRA SERAH PROJEK NAIK TARAF SALIRAN FASA 2 KEPADA MELAKA, FOKUS ATASI BANJIR KILAT

26/04/2026 11:28 AM

ALOR GAJAH, 25 April (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) hari ini menyerahkan projek menaik taraf sistem saliran bernilai RM10.351 juta kepada Kerajaan Negeri Melaka dalam usaha menangani masalah banjir kilat di kawasan Bandaraya Melaka Bersejarah.

PETRA dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan projek Fasa 2 (Pakej 2A) itu telah siap sepenuhnya pada 19 Mac lepas dan melibatkan tiga lokasi utama di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Kawasan terlibat ialah Kampung Enam dan Kampung Tujuh; Jalan Tamby Abdullah hingga ke Jalan Parameswara serta Taman Merak Mas ke Kampung Tebing Tinggi, Bukit Katil.

“Pelaksanaan projek ini bertujuan menyelesaikan masalah banjir kilat yang sering berlaku di kawasan terbabit, sekali gus meningkatkan kecekapan sistem saliran dan kesejahteraan penduduk setempat. 

"Skop projek merangkumi pembinaan rumah pam serta pelaksanaan kerja berkaitan termasuk kerja awam, struktur bangunan, mekanikal dan elektrikal serta automasi tempatan," demikian maklum kenyataan tersebut.

Penyerahan projek itu berlangsung sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari Air Sedunia (HAS) 2026 Peringkat Kebangsaan yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA Datuk Seri Fadillah Yusof dan turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Pantai Tanjung Bidara, Masjid Tanah, di sini, hari ini. 

Dalam pada itu, PETRA memaklumkan Kerajaan Persekutuan telah meluluskan sebanyak 21 projek berkaitan air di Melaka dengan kos keseluruhan RM3.1 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dan Ke-13.

“Bagi Rolling Plan Pertama (RP1) 2026 pula, siling peruntukan yang disediakan adalah sebanyak RM274 juta,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, sambutan HAS 2026 dengan tema “Air Milik Semua” yang berlangsung sejak semalam hingga hari ini menghimpunkan lebih 5,000 pengunjung.

Kenyataan itu turut memaklumkan sambutan berkenaan menjadi platform penting dalam meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pengurusan sumber air secara mampan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

“Kesedaran masyarakat terhadap kepentingan air amat penting sebagai pemangkin kepada tindakan bersama dalam memastikan kemampanan sumber air bersih negara untuk generasi kini dan akan datang,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan