WISMAR (Jerman), 26 April (Bernama-dpa) -- Seekor paus biru yang terdampar di pulau Poel di Laut Baltik dijangka ditarik ke Laut Utara menggunakan tongkang dalam operasi yang mengambil masa beberapa hari, menurut penganjur inisiatif itu pada Sabtu, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Felix Bohnsack, ketua teknikal inisiatif persendirian itu, berkata ikan paus berkenaan boleh diangkut kira-kira tiga setengah hari melepasi Fehmarn ke perairan berhampiran Skagen, sejauh lebih 400 kilometer.
Keadaan mamalia itu akan dinilai semula. Pihak berkuasa di negeri timur laut Jerman Mecklenburg-Vorpommern telah membenarkan rancangan itu diteruskan, kata Menteri Alam Sekitar wilayah Till Backhaus, sambil menambah bahawa tanggungjawab terletak pada penganjur.
Doktor haiwan terlibat percaya haiwan itu sesuai untuk dtarik dan mengikut rancangan, paus jantan seberat 12 tan tersebut akan ditarik menggunakan tongkang.
Bot berkenaan, yang kini berhampiran Hamburg, dijangka tiba dari Poel pada Ahad dan bersedia untuk operasi, dijangka bermula antara Selasa dan Rabu, menurut penganjur.
Jika ikan paus itu berenang jauh atau tidak boleh dimuatkan, alat pengesan yang dipasang pada haiwan tersebut akan membantu memantau kedudukannya, walaupun pegawai menyatakan peranti berkenaan tidak berfungsi di dalam air, menimbulkan risiko jika ikan paus menyelam. Penyelesaian isu itu sedang diusahakan, kata Backhaus.
Pasukan juga telah menggunakan penghadang yang dipenuhi pasir untuk menghalang ikan paus itu daripada bergerak lebih jauh ke perairan cetek apabila paras air meningkat.
Haiwan berkenaan kali pertama dilihat di Laut Baltik pada awal Mac dan telah menghabiskan banyak masa di kawasan cetek, kemungkinan disebabkan oleh penyakit.
-- BERNAMA-dpa
