JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS IPOH BUKA SIASATAN DALAMAN KES TULAR ANGGOTA DIDAKWA AMBIL WANG

26/04/2026 08:49 PM

IPOH, 26 April (Bernama) -- Polis menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti lokasi kejadian dan anggota yang dipercayai terlibat mengambil wang daripada seorang lelaki seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Muhammad Najib Hamzah berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku yang boleh menjejaskan integriti pasukan.

“Siasatan awal mendapati kenderaan pelbagai guna (MPV) yang digunakan dalam video itu mempunyai tanda panggilan (call sign) ‘PK 56’ yang juga milik Kontinjen Perak di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

“Walau bagaimanapun, lokasi kejadian dan identiti anggota yang terlibat masih dalam proses pengesahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Najib berkata pihaknya memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara telus, rapi dan adil. 

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang atau peraturan yang dilakukan oleh mana-mana pegawai atau anggota,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Muhammad Najib meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya menyalurkannya kepada IPD Ipoh di talian 05-245 1500 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. 

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Sebelum ini, tular di media sosial satu video berdurasi 46 saat memaparkan seorang anggota polis didakwa mengambil wang daripada seorang lelaki.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan