AM

MELAKA PERKUKUH SEKTOR PENGELUARAN MAKANAN, ELAK BERGANTUNG KEPADA IMPORT

27/04/2026 04:13 PM

MELAKA, 27 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka sedang memperkukuh sektor pengeluaran makanan di negeri itu bagi mengurangkan kebergantungan kepada import berikutan krisis bekalan global akibat krisis Asia Barat ketika ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ketika ini bekalan makanan dalam negeri masih mencukupi, stabil dan terkawal, namun kerajaan negeri tidak akan membiarkan rakyat panik atau terkesan secara langsung dan sumber bekalan akan diuruskan dengan lebih terancang.

“Kerajaan negeri memastikan sumber bekalan makanan dalam negeri dimanfaatkan sepenuhnya, dengan antara langkah penting adalah melalui peruntukan RM6.42 juta di bawah Program Agromakanan Negara untuk 10 projek makanan, ternakan dan perikanan.

“Selain itu, RM2.08 juta menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk tingkatkan pengeluaran tempatan dan RM1.2 juta untuk sektor penternakan,” katanya ketika berucap pada sesi Usul Terima Kasih kepada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam sempena sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata kerajaan negeri juga berhasrat meningkatkan pengeluaran beras selepas Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengedarkan 44 tan metrik Beras Melaka membabitkan nilai jualan RM114.4 juta bagi tempoh Januari hingga Mac lepas.

Ab Rauf berkata di peringkat pengeluaran, beliau menjangkakan hasil padi akan meningkat kepada 7,000 tan metrik menjelang hujung tahun ini.

Kerajaan negeri juga menyediakan pelbagai insentif kepada petani, penternak dan nelayan yang bukan bersifat sebagai bantuan sementara malah sebagai sokongan berterusan untuk memastikan sektor itu kekal hidup dan berdaya tahan.

“Kerajaan negeri akan mempertimbangkan insentif sebanyak RM30 bagi setiap 0.4 hektar yang diusahakan bagi menampung kos operasi penggunaan jentera oleh pesawah, manakala RM900,000 bagi menaik taraf infrastruktur nelayan serta RM1 juta bagi peralatan menangkap ikan, yang dijangka diserahkan sepenuhnya kepada kumpulan itu pada suku ketiga 2026.

“Kerajaan negeri juga membantu rakyat dengan memberi harga mesra bagi jualan ayam iaitu sekitar RM5 hingga RM10 (seekor). Bagi Parlimen Masjid Tanah tempoh hari, sebanyak 25,000 ekor ayam dijual dengan harga RM5 sahaja. 

“Kerajaan negeri juga sedang meneliti untuk menyusun semula perbelanjaan supaya fokus kepada perkara asas dan kritikal kerana sebagai kerajaan yang mentadbir di negeri ini, keselamatan makanan dan kesejahteraan rakyat adalah tanggungjawab asas sebuah pentadbiran yang bertanggungjawab,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan