PUTRAJAYA, 27 April (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini melancarkan Kempen “Tiada Visa, Tiada Haji” bagi memastikan kemaslahatan, keselamatan dan kebajikan jemaah haji Malaysia sentiasa terpelihara, selain membanteras penipuan serta memastikan pematuhan terhadap peraturan ditetapkan kerajaan Arab Saudi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata kempen itu dilaksanakan sebagai menyahut seruan kerajaan Arab Saudi yang mempromosikan pendekatan sama.
"Kempen ini kita buat untuk kemaslahatan semua jemaah haji dan juga keselamatan seluruh umat Islam, untuk mengelakkan daripada adanya kes-kes penipuan yang merugikan umat Islam di Malaysia.
"Jadi kempen ini untuk memastikan semua urusan dan juga pengurusan (jemaah) haji kita tersusun, tertib dan benar-benar dapat memenuhi keseluruhan apa yang diinginkan oleh jemaah haji kita," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kempen berkenaan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di sini, hari ini.
Zulkifli berkata kempen itu juga selari dengan pandangan Muzakarah Haji yang telah mengeluarkan ketetapan berhubung kepentingan pematuhan terhadap peraturan visa haji.
"Hanya jemaah haji yang memiliki visa sah dibenarkan menunaikan ibadah haji, sekali gus melindungi kebajikan mereka sepanjang berada di Tanah Suci," katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak menunaikan haji secara persendirian kerana sebarang masalah seperti kesihatan tidak dapat dilindungi sekiranya tidak melalui saluran rasmi.
Selain itu, penggunaan visa selain visa haji seperti visa pelancongan, perniagaan, pekerjaan atau umrah untuk tujuan menunaikan haji adalah suatu kesalahan di sisi undang-undang Arab Saudi.
"Kemasukan ke Makkah bagi tujuan haji adalah tertakluk kepada pemilikan visa haji yang sah atau dokumen rasmi seperti Iqamah atau permit kerja di kawasan Tanah Suci," katanya.
Beliau berkata individu melanggar peraturan boleh dikenakan denda sehingga SR100,000 (RM105,377), manakala pihak yang membantu atau mengangkut jemaah tanpa visa sah berdepan hukuman penjara sehingga enam bulan serta denda sehingga SR50,000 (RM52,698).
-- BERNAMA
