AM

MALAYSIA–TURKIYE PERKUKUH KERJASAMA PENDIDIKAN, TEROKA POTENSI SEKTOR HALAL

27/04/2026 08:37 PM

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) --  Malaysia dan Turkiye komited untuk memperkukuh kerjasama dalam pembangunan pendidikan termasuk memperluas akses serta meningkatkan kualiti pengajian melalui kolaborasi antara institusi kedua-dua negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Universiti Ibn Haldun Necmeddin Bilal Erdogan dan Presiden Majlis Pendidikan Tinggi Turkiye Prof Dr Erol Ozvar bersama delegasi di pejabatnya di Putrajaya, hari ini. 

“Perbincangan hari ini tertumpu kepada bidang pendidikan khususnya melibatkan peranan MARA (Majlis Amanah Rakyat) dalam memperluas akses dan kualiti pendidikan termasuk potensi kerjasama dengan institusi pendidikan kedua-dua negara.

“Hubungan Malaysia dan Turkiye dalam sektor pendidikan berada pada landasan yang baik dengan pelbagai bentuk kerjasama antara institusi kedua-dua negara merangkumi pertukaran akademik, penyelidikan serta pembangunan program bersama,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari  ini. 

Ahmad Zahid berkata pertemuan itu turut menyentuh potensi kerjasama dalam sektor halal yang dilihat mampu membuka lebih banyak peluang antara kedua-dua negara.

“Saya berharap pertemuan ini dapat memperkukuh lagi hubungan dua hala Malaysia dan Turkiye, seterusnya memberi manfaat kepada pembangunan pendidikan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara, insya-Allah,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan