EKONOMI

HASIL INTERVENSI AWAL KERAJAAN BANTU MALAYSIA TANGANI IMPAK KRISIS ASIA BARAT

28/04/2026 01:20 AM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif 

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Malaysia berada dalam keadaan lebih baik berbanding negara-negara lain di rantau ini dalam usaha menangani impak krisis Asia Barat susulan intervensi awal kerajaan membina daya tahan ekonomi negara sejak tiga tahun lepas.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata langkah itu termasuk melihat semula penstrukturan subsidi supaya lebih bersasar, mengelak pembaziran, komitmen terhadap usaha memerangi rasuah, pengurusan kewangan serta tadbir urus yang baik. 

"Kita ada (melaksanakan langkah) penjimatan, penstrukturan subsidi, melawan rasuah, ketirisan dan kebocoran melalui kaedah penguatkuasaan yang sering disebut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Semua ini menyumbang kepada keupayaan kita untuk membina daya tahan ekonomi yang lebih kuat. 

"Jika dibandingkan dengan Thailand, Filipina, Singapura ataupun Indonesia, kita berada jauh lebih baik daripada sudut ekonomi (dalam menangani impak krisis ini)," katanya ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara bertajuk "Krisis Bekalan Global" terbitan Bernama TV malam ini.

Muhammad Kamil berkata perniagaan bagaimanapun tidak dapat berjalan seperti biasa berikutan implikasi krisis itu yang tidak hanya pada ekonomi negara, tetapi juga di peringkat global.

"Kita lihat seolah-olah rakyat atau masyarakat secara umum masih lagi dalam keadaan “okay”...tidak nampak kesan besar dan sebagainya, tetapi ini sebenarnya disebabkan dalam tempoh tiga tahun ini, kita telah membina daya tahan ekonomi negara,” katanya. 

Mengulas unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengenai peningkatan pertumbuhan ekonomi negara berbanding ekonomi global yang menurun, beliau menyifatkannya sebagai satu mesej baik dari sudut penilaian ekonomi negara secara keseluruhan.

"Kalau kita ingin melihat kekuatan serta prestasi ekonomi semasa, kita harus menilai daripada sudut pertumbuhan ekonomi, kadar inflasi yang masih terkawal, kadar pengangguran yang menurun ke paras terendah dalam tempoh 10 tahun serta kekuatan ringgit yang antara paling berprestasi (baik) di rantau Asia.

"Selain itu, peningkatan kadar pelaburan, sama ada pelaburan domestik mahupun pelaburan langsung asing, juga menunjukkan keyakinan terhadap kerangka ekonomi negara. Meskipun dunia berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi, keyakinan itu tetap ada dan itu yang penting," katanya.

Muhammad Kamil berkata sejak dari awal, kerajaan menekankan kepentingan memahami kerangka Ekonomi MADANI secara menyeluruh iaitu meningkatkan siling pendapatan rakyat dan siling ekonomi negara melalui tadbir urus yang baik.

Beliau turut menegaskan, walaupun ada pihak menganggapnya sebagai retorik, angka hari ini menunjukkan sebaliknya -- prestasi ekonomi negara semakin baik dan kedudukan fiskal semakin kukuh.

"Hari ini kita ada ruang fiskal yang lebih luas untuk berhadapan dengan krisis," katanya.

Muhammad Kamil berkata sebagai contoh, subsidi bahan api sebelum ini sekitar RM700 juta sebulan namun  kini mencecah sekitar RM200 juta sehari -- bersamaan hampir RM6 billion hingga RM7 bilion sebulan.

"Kalangan rakyat seperti petani, pengangkut barangan dan pengguna perkhidmatan awam misalnya masih menikmati harga bahan api yang lebih rendah daripada harga pasaran.

"Ini menunjukkan komitmen kerajaan. Kita mampu lakukan ini kerana dalam tempoh tiga tahun lepas, kita telah berjaya memulihkan ekonomi, mengurangkan ketirisan dan memperkukuh pengurusan kewangan.

"Ketika negara lain mula mencatu minyak atau mengisytiharkan darurat tenaga, Malaysia masih mampu mengawal bekalan dan harga," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan