Oleh LInda Khoo
KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Malaysia mempergiat usaha memperluas kehadirannya di Asia Tengah dengan penyertaan sembilan syarikat yang mempamerkan produk pelancongan, pendidikan dan berkaitan halal di Kazakhstan International Tourism and Travel Fair (KITF) 2026 di Almaty.
Pavilion Malaysia menghimpunkan syarikat penerbangan, pengendali pelancongan dan penyedia hospitaliti, selain institusi pengajian tinggi yang mempromosikan Malaysia sebagai hab serantau bagi “edutourism”, selari dengan usaha memenuhi permintaan yang semakin meningkat dari Asia Tengah.
Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan Mohd Adli Abdullah berkata penyertaan itu mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh kerjasama pelancongan, dengan KITF menjadi platform penting untuk memperluas jaringan dengan Kazakhstan dan pasaran Asia Tengah secara keseluruhan.
“Malaysia melihat KITF bukan sekadar platform promosi, tetapi sebagai saluran strategik untuk membina kerjasama mampan dan meningkatkan keterhubungan dengan Asia Tengah,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata penyertaan itu juga menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026), dengan KITF berperanan sebagai platform promosi serta pintu masuk untuk membina kehadiran pasaran jangka panjang.
Berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Atakent di Almaty dari 22 hingga 24 April, pavilion Malaysia yang terbesar setakat ini seluas 57 meter persegi menampilkan syarikat seperti AirAsia X, Asian Overland Services dan Asia Premium Holidays.
Malaysia turut mempamerkan sektor pendidikan di bawah tema “edutourism”, dengan penyertaan institusi yang diselaraskan oleh Education Malaysia Global Services (EMGS) dengan kerjasama Tourism Malaysia.
Pasaran Asia Tengah terus menunjukkan potensi pertumbuhan kukuh apabila Malaysia merekodkan lebih 85,000 ketibaan pelawat dari rantau itu pada 2025, meningkat 13.4 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan Kazakhstan menyumbang lebih 43,000 pelawat atau lebih separuh daripada jumlah keseluruhan.
Bagi memperkukuh lagi penglibatan, Mohd Adli berkata Tourism Malaysia menganjurkan beberapa program perniagaan ke perniagaan (B2B) dan jelajah promosi di Almaty, Astana dan Tashkent.
Beliau berkata Malaysia turut memanfaatkan KITF untuk meluaskan kerjasama melangkaui sektor pelancongan, khususnya dalam produk halal, agromakanan, pendidikan dan perkhidmatan mesra Muslim yang saling berkait dan membuka peluang kerjasama komersial serta institusi yang lebih luas.
“Ini sebabnya kami mempamerkan tawaran halal, produk agromakanan, perkhidmatan mesra Muslim dan pendidikan tinggi sebagai sebahagian daripada rantaian nilai pelancongan, sekali gus menjadikan KITF sebagai pintu masuk kepada jaringan perniagaan dan kerjasama rentas sektor,” kata beliau.
Usaha itu turut disokong pengukuhan perdagangan dua hala yang melepasi RM1 bilion buat kali pertama pada 2025, meningkat 58.9 peratus ke paras tertinggi, dengan minyak sawit dan produk berasaskan sawit serta makanan diproses menyumbang lebih 26 peratus eksport Malaysia ke Kazakhstan.
Kazakhstan juga menyumbang 37.4 peratus daripada lebihan dagangan Malaysia dengan negara Asia Tengah C5 — Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Turkmenistan dan Uzbekistan — yang berjumlah RM430 juta.
“Angka ini menunjukkan kepentingan Kazakhstan sebagai antara pasaran baharu paling menjanjikan bagi Malaysia,” katanya.
Beliau berkata selain pelancongan, KITF turut membuka peluang kerjasama dalam pendidikan selaras hasrat Malaysia menjadi hab pendidikan serantau dan menarik 500,000 pelajar antarabangsa menjelang 2035.
“Selain itu, Malaysia terus memperluas kerjasama dalam produk halal, agromakanan, kewangan Islam dan perkhidmatan mesra Muslim, sejajar peningkatan permintaan serta kaitannya dengan industri pelancongan dan gaya hidup.
"Kesemua sektor ini menjadikan KITF sebagai platform untuk memperkukuh hubungan komersial dan memperluas kerjasama dengan Kazakhstan serta pasaran C5,” katanya.
-- BERNAMA
