AM

KERAJAAN PERKENAL PROGRAM MENTOR-MENTEE PERKUKUH EKOSISTEM SASTERA NEGARA

28/04/2026 04:50 PM

PUTRAJAYA, 28 April (Bernama) -- Kerajaan akan memperkenalkan program mentor-mentee yang diselia sasterawan negara sebagai inisiatif utama bagi memperkukuh ekosistem sastera negara dan melahirkan lebih ramai pengarang muda berbakat.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata program itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan akan melibatkan Sasterawan Negara ke-10 Datuk Dr Mohd Anwar Ridhwan dan Sasterawan Negara ke-15 Datuk Rahman Shaari dalam membimbing penulis baharu secara berterusan.

“Pada masa yang sama, saya juga ingin menegaskan komitmen kerajaan terhadap Anugerah Sastera Negara ini tidak terhenti hanya dengan pengiktirafan dari segi anugerah sahaja. Jadi bersama dengan DBP dan seluruh komuniti sastera, kita melihat ada satu komitmen penting yang harus menjadi unjuran utama kita.

“Ia termasuk program mentor-mentee yang akan diselia secara langsung dan terus oleh sasterawan negara untuk mengukuhkan ekosistem kepengarangan ini,” katanya pada sidang media Anugerah Sastera Negara ke-16 di sini, hari ini.

Beliau berkata menerusi pendekatan itu, bakat muda pengarang akan dikenal pasti dan dipupuk dari peringkat awal bagi menjamin kelangsungan dan kegemilangan sastera Melayu pada masa hadapan.

Fadhlina berkata sasterawan negara memikul amanah besar menyemai kesedaran kemanusiaan, membentuk jati diri dan akal budi serta memperkukuh identiti budaya melalui karya besar yang merentas zaman dan generasi, terus dibaca, ditelaah dan dihargai.

“Justeru, usaha membina dan menggilap sasterawan yang berpotensi diangkat sebagai sasterawan negara perlu dilaksanakan secara berterusan serta konsisten dan dalam konteks ini, DBP berperanan sebagai institusi teras yang menyediakan ekosistem serta laluan jelas ke arah pembinaan Sasterawan Negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan