PENDANG, 28 April (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah mengesahkan 11 buah sekolah di tiga daerah mengalami kerosakan berikutan kejadian ribut yang berlaku petang semalam.
Pengarah JPN Kedah Abdul Rahim Mat berkata di daerah Pendang sahaja enam sekolah terlibat iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Hj Mohamad Arif, SK Paya Mengkuang, SK Paya Mak Insun, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Puteh Dalam, Akademi Sains Pendang dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pendang.
Di Kulim/Bandar Baharu pula empat sekolah dilaporkan mengalami kerosakan iaitu SK Dato Hj Zainudin, SMK Serdang, SMK Lubuk Buntar dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ganesar, sementara di Kota Setar, sekolah yang terlibat ialah SK Kangkong.
“Kejadian ribut petang semalam menyebabkan kerosakan harta benda, namun kita bersyukur kerana tiada kemalangan. JPN, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah telah mengambil tindakan awal bagi mengenal pasti kerosakan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Akademi Sains Pendang di sini hari ini.
Beliau berkata daripada 11 sekolah terlibat, satu sekolah iaitu SK Hj Mohamad Arif telah melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bermula hari ini hingga Khamis, melibatkan 600 murid prasekolah, tahun satu, dua dan tiga.
Abdul Rahim berkata murid di sekolah berkenaan akan menjalani sesi PdPR hingga Khamis dan pihak JPN akan menilai dari semasa ke semasa jika sesi itu perlu disambung.
Beliau berkata JPN juga cuba mendapatkan peruntukan kecemasan bencana dengan kadar segera bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dibuat supaya murid-murid dapat meneruskan sesi pembelajaran dalam keadaan selamat.
Semalam, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah memaklumkan tiga daerah terjejas akibat ribut yang menyebabkan beberapa bangunan termasuk premis kerajaan mengalami kerosakan terutamanya pada bahagian bumbung selain pokok tumbang.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA Shahrizal Mohd Saderi berkata 582 pelajar MRSM Pendang dibenarkan pulang ke rumah hari ini dan akan menjalani sesi PdPR bermula esok hingga Khamis, dan dijangka boleh kembali ke asrama pada Ahad.
"Kejadian ribut petang semalam telah menyebabkan beberapa struktur bangunan antaranya bumbung diterbangkan, tetapi apa yang penting tiada pelajar yang tercedera dalam kejadian ini.
"Keadaan sekarang terkawal dan kerja-kerja menilai kerosakan sedang dibuat. Peruntukan khas akan diberikan dan kita telah mengenal pasti kontraktor yang berupaya menjalankan kerja-kerja pembaikan segera," katanya selepas melawat MRSM Pendang, hari ini.
Beliau berkata pihaknya juga sedang mendapatkan kelulusan bagi peruntukan darurat yang membabitkan kos kira-kira RM1.5 juta dan sebaik sahaja ia diterima, semua kerja pembaikan akan dimulakan.
-- BERNAMA
