DUNIA

UAE KELUAR OPEC, OPEC+ BERI TAMPARAN HEBAT KEPADA KUMPULAN PENGELUAR MINYAK GLOBAL

28/04/2026 11:04 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Reuters) -- Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan pada Selasa keputusannya untuk keluar daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan OPEC+, sekali gus memberi tamparan hebat kepada kumpulan pengeksport minyak itu dan pemimpin de factonya, Arab Saudi.

Tindakan itu berlaku ketika perang Iran telah mencetuskan kejutan tenaga dalam sejarah dan menggugat ekonomi global.

Kehilangan mengejut UAE, yang merupakan ahli yang lama dalam OPEC, boleh mencetuskan huru-hara dan melemahkan kumpulan itu yang biasanya cuba mempamerkan kesatuan yang teguh meskipun berdepan perselisihan dalaman berhubung pelbagai isu, daripada geopolitik hingga ke kuota pengeluaran, lapor Reuters.

Pengeluar OPEC di Teluk  sedang bergelut untuk menghantar eksport melalui Selat Hormuz - satu laluan sempit di antara Iran dan Oman yang menjadi laluan bagi satu perlima daripada minyak mentah dan gas asli cecair dunia - ekoran ancaman serta serangan Iran terhadap kapal-kapal pengangkut.

Bagaimanapun, tindakan UAE meninggalkan OPEC dilihat sebagai kemenangan besar buat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang sebelum ini mendakwa organisasi itu "menipu seluruh dunia" dengan menaikkan harga minyak secara sengaja.

Trump juga mengaitkan sokongan ketenteraan AS kepada negara Teluk dengan harga minyak, dengan menyatakan bahawa sementara AS mempertahankan ahli OPEC, mereka pula "mengambil kesempatan dengan mengenakan harga minyak yang tinggi".

Langkah itu dibuat selepas UAE, yang merupakan sebuah hab perniagaan serantau dan antara sekutu terpenting Washington, mengkritik negara Arab sekutunya kerana tidak melakukan usaha secukupnya bagi melindungi negara itu daripada siri serangan Iran semasa peperangan, menurut laporan berkenaan.

Anwar Gargash, penasihat diplomatik kepada Presiden UAE, mengkritik tindak balas negara Arab dan Teluk terhadap serangan Iran dalam satu sesi di Forum Pempengaruh Teluk pada Isnin.

"Negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) menyokong satu sama lain dari segi logistik, tetapi dari segi politik dan ketenteraan, saya fikir pendirian mereka adalah yang paling lemah dalam sejarah," kata Gargash.

"Saya menjangkakan pendirian lemah ini daripada Liga Arab dan saya tidak terkejut mengenainya, tetapi saya tidak menjangkakannya daripada Majlis Kerjasama (Teluk) dan saya terkejut dengannya," katanya.

-- REUTERS

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan