KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan awal pagi Rabu dengan lebih rendah, menjejaki prestasi serantau ketika sentimen pelabur terjejas susulan laporan tindakan Emiriah Arab Bersatu (UAE) keluar daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutu OPEC+.
Berikutan itu juga, indeks utama bursa diheret turun oleh penyusutan kaunter saham berkaitan minyak dan perkhidmatan kewangan.
Pada 12.30 tengah hari ini, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 9.20 mata kepada 1,720.40 daripada 1,729.60 pada akhir dagangan semalam.
Indeks itu dibuka menokok 2.05 mata pada 1,731.65 dan bergerak dalam julat 1,718.45 hingga 1,733.84 sepanjang sesi pagi ini.
Sentimen pasaran kurang memberangsangkan dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 514 berbanding 422 manakala 589 kaunter tidak berubah, 1,166 tidak didagangkan dan 112 digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 1.93 bilion unit bernilai RM1.51 bilion.
Semalam, UAE mengumumkan keputusan untuk keluar daripada OPEC dan OPEC+ berkuat kuasa 1 Mei ini atas alasan kepentingan negara serta strategi tenaga bagi jangka panjang.
Langkah itu juga dilihat memberi tamparan hebat kepada perkumpulan negara pengeluar minyak di tengah-tengah kejutan tenaga susulan krisis membabitkan Iran.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, CIMB Treasury and Markets Research berkata ketegangan di Asia Barat kekal tinggi apabila rundingan Amerika Syarikat (AS) dan Iran terhenti manakala tindakan mengejut UAE keluar daripada OPEC hanya memburukkan lagi ketidaktentuan bekalan selain melonjakkan harga minyak (minyak mentah penanda aras global Brent melebihi US$111 setong).
Menurutnya, UAE merancang untuk bertindak bebas meningkatkan pengeluaran selepas bertahun-tahun kecewa dengan kuota pengeluaran yang mengehadkan kapasitinya yang telah dipertingkatkan.
Pasaran serantau menyaksikan Indeks Straits Times Singapura susut 0.50 peratus kepada 4,863.45, Indeks Nikkei 225 Jepun merosot 1.02 peratus kepada 59,917.46, Indeks Hang Seng Hong Kong melonjak 1.30 peratus kepada 26,013.31 manakala Kospi Korea Selatan meraih 0.75 peratus kepada 6,690.52.
Di peringkat tempatan dalam kalangan saham berkaitan minyak, Petronas mendahului senarai kaunter paling rugi apabila susut 40 sen kepada RM20.16, Petronas Gas turun 10 sen kepada RM17.86, Bumi Armada merosot setengah sen kepada 39.5 sen manakala Petronas Chemicals tidak berubah pada RM5.66.
Bagi kaunter saham wajaran tinggi berkaitan kewangan, CIMB susut sembilan sen kepada RM7.69, Maybank rugi lapan sen kepada RM11.14, AMMB turun lapan sen kepada RM6.20, Hong Leong Bank kehilangan 16 sen kepada RM22.63, Public Bank berkurangan satu sen kepada RM4.77 manakala RHB jatuh tiga sen kepada RM8.20.
Tenaga Nasional sebaliknya naik empat sen kepada RM14.56, CelcomDigi meningkat satu sen kepada RM2.96, Nestle menokok 10 sen kepada RM102.40, PPB meningkat dua sen kepada RM11.32 manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM8.81.
Kaunter paling aktif menyaksikan UEM Sunrise dan WCT masing-masing naik tiga sen kepada 68 sen dan 50 sen, VS Industry menokok satu sen kepada 22 sen manakala Zetrix AI turun satu sen kepada 85 sen dan MRCB tidak berubah pada 33.5 sen.
Bagi kaunter paling untung, Malaysian Pacific Industries melonjak RM1.38 kepada RM38.88, IOI Properties meningkat 18 sen kepada RM4.17, ITMax naik 16 sen kepada RM4.99, UMS Integrated menambah 15 sen kepada RM6.85 manakala Allianz naik 12 sen kepada RM20.92.
Sebaliknya, kaunter paling rugi didahului Hong Leong Industries yang susut 28 sen kepada RM17.52, Fraser and Neave turun 18 sen kepada RM31.12 dan SAM Engineering berkurangan 11 sen kepada RM4.07.
Di papan indeks pula Indeks FBM Emas merosot 51.15 mata kepada 12,747.59, Indeks FBM Top 100 berkurangan 54.52 mata kepada 12,579.81, Indeks FBM Emas Shariah susut 27.89 mata kepada 12,701.30, Indeks FBM Mid 70 menguncup 24.45 mata kepada 18,245.52 dan Indeks FBM ACE kehilangan 5.38 mata kepada 4,651.16.
Dari segi sektor, Indeks Tenaga meraih 2.43 mata kepada 833.76, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 127.92 mata kepada 20,033.71, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.26 mata kepada 195.55 manakala Indeks Perladangan turun 28.84 mata kepada 8,801.62.
-- BERNAMA
