PUTRAJAYA, 29 April (Bernama) -- Cadangan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) untuk membawa pulang tiga gajah Malaysia dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat wajar dipertimbang secara serius, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.
Beliau berkata sekiranya pelaksanaan perjanjian pemindahan ketiga-tiga gajah itu didapati tidak lagi selari dengan prinsip konservasi, kebajikan hidupan liar serta sensitiviti semasa, maka menjadi keperluan untuk mengembalikan ketiga-tiga khazanah alam negara tersebut ke habitat asal.
"Setelah meneliti memorandum dikemukakan, NRES (Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam) secara prinsip berpandangan bahawa cadangan untuk mengembalikan ketiga-tiga gajah adalah wajar dipertimbangkan dengan serius, mengambil kira kepentingan awam dan sensitiviti semasa.
"Sehubungan itu, saya menegaskan agar pihak pengurusan Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) memulakan rundingan dengan pihak Tennoji Zoo Osaka di Jepun bagi menilai keperluan dan mekanisme untuk membawa pulang gajah-gajah tersebut ke tanah air memandangkan mereka adalah pihak mempunyai obligasi kontraktual," katanya pada sidang media mengenai isu gajah Dara, Amoi dan Kelat (DAK) di sini hari ini.
Beliau berkata atas dasar konservasi dan kepentingan negara, NRES bersedia untuk meneliti keperluan mendapatkan dana sekiranya perlu membawa pulang gajah-gajah berkenaan demi usaha pemuliharaan dan menyelamatkan khazanah alam negara itu.
"Walaupun keputusan dibuat oleh pentadbiran terdahulu, sebagai menteri yang memegang mandat hari ini, saya tidak akan berkompromi dalam soal kebajikan hidupan liar," katanya.
Beliau berkata NRES memandang serius isu kebajikan ketiga-tiga haiwan itu susulan beberapa video dan gambar yang tular di media sosial dan mendapat perhatian luar biasa daripada rakyat negara ini.
Berikutan itu, beliau mengadakan perjumpaan dengan Duta Besar Jepun ke Malaysia Noriyuki Shikata pada 13 April lepas serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping Mohamed Akmal Dahalan bersama pihak pengurusan ZTNS pada 21 April lepas, untuk mendapatkan penerangan mengenai program konservasi gajah antara ZTNS dan Tennoji Zoo Osaka.
"Dalam pertemuan tersebut (bersama Majlis Perbandaran Taiping dan ZTNS), kita ada memberi beberapa cadangan dan meminta supaya beberapa tindakan diambil serta beberapa penjelasan diberikan secara umum.
“Tetapi sehingga ke hari ini, tindakan atau permintaan dan cadangan kita gagal untuk dipenuhi oleh kedua-dua pihak," katanya.
Beliau berkata berdasarkan rekod Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia serta semakan silang dengan ZTNS, kerjasama strategik antara kedua-dua zoo itu dimeterai melalui dua perjanjian pada 19 Mei 2022 dan 6 Okt 2022.
"Kementerian bukan pihak yang menandatangani perjanjian tersebut. Perjanjian berkaitan pemindahan ketiga-tiga gajah ini dimeterai secara langsung antara ZTNS dan Tennoji Zoo Osaka melalui kaedah perniagaan antara perniagaan," katanya.
NRES sebelum ini memanjangkan memorandum yang diserahkan sekumpulan aktivis dan NGO bagi membawa pulang DAK kepada ZTNS untuk diteliti serta diperhalusi kerana perkara itu di bawah bidang kuasa pihak pengurusan zoo berkenaan.
-- BERNAMA
