AM

TUNKU MAHKOTA ISMAIL MAHU PENGOPERASIAN PENUH HOSPITAL PASIR GUDANG DISEGERAKAN

30/04/2026 12:49 PM

ISKANDAR PUTERI, 30 April (Bernama) -- Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail hari ini bertitah mahu pengoperasian penuh Hospital Pasir Gudang (HPG) disegerakan.

Baginda bertitah perkara itu adalah penting memandangkan sektor kesihatan adalah kritikal dan tidak boleh ditangguhkan.

“Walaupun sebahagian besar perkhidmatan telah mula beroperasi, isu penjawatan dan kelengkapan perlu diselesaikan segera tanpa sebarang kelewatan,” titah baginda pada Mesyuarat Pertama Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata HPG dijangka beroperasi selepas mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus kesiapsiagaan.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) giat melaksanakan persiapan rapi bersama Kerajaan Negeri Johor bagi memastikan kelengkapan asas, peralatan perubatan dan sumber manusia mencukupi sebelum hospital itu memulakan operasi.

Tunku Mahkota Ismail turut menzahirkan penghargaan atas pengiktirafan Hospital Sultanah Aminah (HSA) sebagai antara Worlds Best Hospitals 2026 baru-baru ini.

Baginda bertitah pencapaian itu merupakan hasil usaha bersama kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh kualiti perkhidmatan, kemudahan serta kecekapan sistem kesihatan Johor yang kini berada pada landasan tepat.

“Pelbagai inisiatif seperti penambahbaikan fasiliti, pelaksanaan sistem digital serta pendekatan inovatif seperti decanting bagi mengurangkan kesesakan telah berjaya meningkatkan pengalaman dan keselesaan pesakit,” titah baginda.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon dilaporkan berkata pengikitirafan oleh Newsweek dan Statista itu membuktikan bahawa usaha berterusan dalam memperkukuh kualiti perkhidmatan serta fasiliti kesihatan mula membuahkan hasil.

Beliau berkata pengiktirafan itu menjadi pemangkin untuk sektor kesihatan di Johor melangkah lebih jauh sekali gus menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga HSA atas komitmen dalam memberikan perkhidmatan terbaik.

Sementara itu, Tunku Mahkota Ismail menggesa kerajaan negeri untuk meneruskan usaha mensifarkan kira-kira 6,500 golongan miskin berdasarkan pencapaian mensifarkan 4,612 miskin tegar pada 29 April tahun lepas.

Baginda bertitah usaha itu perlu diperkasakan agar tiada golongan memerlukan yang tertinggal daripada menerima bantuan. 

Mengenai Sistem Aliran Transit Automasi (ART), Tunku Mahkota Ismail berharap agar segala pertimbangan dan kelulusan yang diperlukan dapat dipercepat demi memastikan sistem pengangkutan awam di Johor benar-benar mampu menyokong pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan Bangsa Johor.

Baginda menegaskan bahawa projek berkenaan memerlukan perhatian dan sokongan serius daripada Kerajaan Persekutuan kerana ia merupakan keperluan mendesak bagi menghadapi peningkatan pergerakan rakyat susulan pelaksanaan Sistem Transit Rapid (RTS Link) Johor Bahru-Singapura.

Tunku Mahkota Ismail sebelum ini menzahirkan kebimbangan terhadap masalah kesesakan lalu lintas yang bakal timbul apabila RTS Link beroperasi pada awal tahun hadapan serta projek ART yang belum dilaksanakan. 

ART yang dicadang di Johor Bahru mempunyai 32 stesen dengan jarak lebih 50 kilometer dan dijangka menelan belanja kira-kira RM7 bilion. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan