KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Seramai 69 individu termasuk penjawat awam ditahan kerana terlibat dalam aktiviti pengedaran video lucah dan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) dalam operasi khas di seluruh negara, awal bulan ini.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata kesemua suspek berusia lingkungan 15 hingga 66 tahun ditahan menerusi Operasi Cyber Guardian 2026 yang dijalankan dari 6 hingga 8 April lepas.
Beliau berkata operasi itu ialah inisiatif kerjasama antarabangsa melibatkan tujuh negara iaitu Malaysia, Singapura, Thailand, Brunei, Hong Kong, Korea Selatan dan Jepun.
“Dalam operasi berkenaan, pihak polis merampas 498,690 fail digital yang terdiri daripada 204,934 fail CSAM dan 293,756 fail pornografi dewasa.
“Sebanyak 67 kertas siasatan dibuka di bawah pelbagai akta termasuk Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 serta Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Mohd Khalid berkata setakat ini, seramai 62 suspek telah didakwa di mahkamah melibatkan 81 pertuduhan, dan daripada jumlah itu, dua individu dijatuhi hukuman penjara antara tiga hingga tujuh bulan manakala seorang lagi dihukum penjara enam bulan serta denda sebanyak RM3,500.
"Seramai 29 individu lagi didenda antara RM1,700 hingga RM7,000," katanya.
Menyentuh mengenai modus operandi, beliau berkata suspek dikesan bergerak secara individu dan berkumpulan menggunakan aplikasi media sosial untuk mengedar serta menjual bahan lucah berkenaan.
"Siasatan mendapati terdapat ekosistem digital secara tersusun dan pentadbir kumpulan dikesan menawarkan akses berbayar melalui transaksi e-dompet serta kod QR.
"Kebanyakan bahan ini diperoleh dari luar negara sebelum dikumpul dan dijual semula oleh individu atau kumpulan tertentu bagi mendapatkan keuntungan komersial," katanya.
Justeru, Mohd Khalid berkata polis tidak akan berkompromi dengan pihak yang memperdagangkan maruah dan keselamatan kanak-kanak serta menasihati orang ramai supaya sentiasa memantau aktiviti digital anak mereka bagi mengelakkan ancaman siber.
-- BERNAMA
