AM

AKSES SUKAN DIPERLUAS MELALUI PROJEK KAMPUNG ANGKAT MADANI

30/04/2026 08:41 PM

MELAKA, 30 April (Bernama) -- Akses kepada kemudahan sukan dalam kalangan komuniti setempat terus diperluas menerusi pelaksanaan Inisiatif Kampung Angkat MADANI apabila sebuah dewan terbuka lengkap dengan gelanggang bola pikel dibangunkan di Kampung Sungai Putat di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh Kerk Chee Yee berkata projek itu, yang juga sebahagian daripada peruntukan RM1 juta di bawah inisiatif berkenaan, dijangka siap menjelang akhir Jun ini dan bakal menjadi pemangkin kepada penglibatan aktif masyarakat dalam aktiviti riadah.

Beliau berkata pembinaan dewan terbuka bernilai RM380,500 di kawasan Taman Ara Permai itu bukan sahaja menyediakan ruang komuniti yang kondusif malah memperkenal kemudahan sukan yang semakin popular seperti bola pikel.

“Lebih istimewa, kita juga mengambil pendekatan ‘harga rakyat’ dengan kadar RM10 sejam supaya semua lapisan masyarakat mampu menggunakan kemudahan ini berbanding harga pasaran semasa yang kebanyakannya diusahakan pihak swasta,” katanya.

Kerk berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat tapak projek itu di sini sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat Parlimen Hang Tuah Jaya DUN Ayer Keroh.

Yang turut hadir ialah Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Sapiah Haron.

Kerk, yang juga Timbalan Speaker DUN Melaka, berkata dewan itu mampu memuatkan kira-kira 200 orang pada satu-satu masa dan sesuai digunakan untuk pelbagai program komuniti termasuk majlis keramaian.

Beliau juga berkata pembangunan dewan terbuka itu selari dengan konsep Taman MADANI yang dilaksanakan oleh MPHTJ, dengan tumpuan kepada transformasi kawasan lapang menjadi ruang komuniti aktif.

“Seperti enam Taman MADANI yang telah siap, kita menaik taraf kawasan yang sebelum ini kurang dimanfaatkan dengan kemudahan seperti laluan pejalan kaki, taman permainan dan pentas.

“Pendekatan ini terbukti menggalakkan interaksi antara masyarakat pelbagai kaum dan menghidupkan semula fungsi ruang awam malah projek dewan terbuka ini dilihat sebagai kesinambungan usaha memperkukuh kemudahan komuniti termasuk akses kepada sukan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan