KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd mengekalkan unjuran pertumbuhan pinjaman 2026 pada 5.0 peratus hingga 5.5 peratus, disokong oleh permintaan isi rumah dan pasaran buruh yang stabil.
Menurut bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan, ini selaras dengan ramalan kadar pengangguran sebanyak 2.9 peratus pada 2026, pertumbuhan pendapatan yang stabil dan persekitaran kadar faedah yang sebahagian besarnya tidak berubah.
“Bagaimanapun, risiko domestik masih berterusan.
“Kenaikan harga tenaga dijangka meningkatkan kos sara hidup dan boleh menghakis kuasa beli isi rumah, sekali gus melemahkan perbelanjaan budi bicara serta keinginan untuk memohon pinjaman,” kata Kenanga.
Dari segi perniagaan, katanya, sentimen berhati-hati dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), di tengah-tengah tekanan kos, mungkin menjejaskan permintaan pinjaman.
Di samping itu, pengurangan perbelanjaan kerajaan disebabkan oleh pelarasan berkaitan subsidi atau kelewatan dalam projek infrastruktur boleh mengurangkan pengembangan kredit, terutamanya dalam segmen berkaitan pembinaan serta rantaian bekalan.
Sementara itu, mengenai tinjauan Kadar Dasar Semalaman (OPR), ia menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar dasar tidak berubah pada 2.75 peratus sepanjang 2026.
“BNM tidak mungkin meningkatkan kadar faedah memandangkan inflasi sebahagian besarnya masih didorong oleh kos dan pertumbuhan domestik masih menghadapi cabaran luaran.
“Oleh itu, BNM dijangka mengutamakan sokongan pertumbuhan berbanding pengetatan awal,” katanya.
Pada masa sama, ia juga mengatakan kadar dasar yang stabil harus terus memberikan kepastian untuk isi rumah dan perniagaan, mengehadkan tekanan kredit dan menyokong aktiviti pinjaman.
Sokongan dasar selanjutnya lebih berkemungkinan diperoleh melalui langkah fiskal dan kewangan yang disasarkan.
Ini termasuk pembiayaan PKS mikro tambahan sebanyak RM5.0 bilion di bawah BNM dan pengembangan RM5.0 bilion dalam jaminan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), yang sepatutnya membantu mengekalkan akses kredit PKS, terutamanya dalam sektor sensitif tenaga, dan mengurangkan risiko penurunan kepada pertumbuhan pinjaman perniagaan.
-- BERNAMA
