KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Malaysia kini berhadapan cabaran kesihatan awam apabila kira-kira 10 peratus rakyat berusia 60 tahun ke atas menghidap demensia, menurut Dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025.
Dapatan yang diumumkan pada 20 April di Putrajaya mendapati angka itu meningkat berbanding 8.5 peratus pada 2018 sekali gus mencerminkan keperluan mendesak untuk memperkukuh usaha pencegahan dan pengurusan penyakit yang menjejaskan ingatan, pemikiran serta keupayaan menjalani kehidupan harian.
Profesor Perubatan Geriatrik Universiti Malaya Profesor Dr Tan Maw Pin yang mewakili gabungan pertubuhan berkaitan demensia menyifatkan peningkatan itu sebagai amaran awal supaya kesihatan otak dijadikan keutamaan dalam agenda kesihatan negara.
“Peningkatan kes tidak hanya dipengaruhi faktor usia tetapi turut dikaitkan dengan beban penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, hipertensi, obesiti dan kolesterol tinggi yang merupakan faktor risiko utama kemerosotan kognitif,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.
Gabungan itu terdiri daripada Dementia Alliance of Malaysia (DAMAI), Alzheimer’s Disease Foundation Malaysia (ADFM), Johor Bahru Alzheimer's Disease Support Association (JOBADA), Dementia Society Perak dan Penang Dementia Association.
Dr Tan berkata walaupun terdapat penambahbaikan dalam beberapa indikator penuaan sihat seperti penurunan kadar kemurungan dan peningkatan keupayaan warga emas menjalani aktiviti harian, perkembangan itu masih belum cukup untuk membendung peningkatan demensia.
“Sehubungan dengan itu, gabungan menggesa kerajaan mempercepat pelaksanaan Pelan Tindakan Demensia 2023-2030 termasuk menyediakan peruntukan khusus bagi memastikan keberkesanannya,” katanya.
Selain itu, gabungan tersebut turut mengutarakan beberapa cadangan utama termasuk memperluas kempen kesedaran awam bagi mengurangkan stigma, memperkukuh saringan awal di fasiliti kesihatan primer serta melaksanakan program pencegahan melibatkan gaya hidup sihat dan pengurusan penyakit kronik.
Gabungan turut mencadangkan agar sokongan lebih menyeluruh kepada penjaga dan keluarga pesakit melalui latihan, perkhidmatan penjagaan gantian serta pengukuhan perkhidmatan komuniti.
“Demensia bukan sekadar isu kesihatan tetapi turut memberi kesan kepada struktur sosial, produktiviti ekonomi dan kesejahteraan keluarga,” katanya.
Beliau berkata jangkaan Malaysia menjadi negara tua dalam tempoh terdekat juga meningkatkan kebarangkalian pertambahan pesakit demensia, jika tiada intervensi awal yang berkesan dilaksanakan.
“Melalui tindakan awal dan bersepadu, perkembangan penyakit boleh dilambatkan, pesakit dapat hidup dengan lebih bermaruah dan keluarga menerima sokongan sewajarnya,” katanya.
Gabungan itu juga menegaskan pendekatan menyeluruh melibatkan kerajaan, sektor kesihatan, komuniti dan masyarakat amat penting bagi memastikan penjagaan yang lebih baik kepada individu terjejas.
-- BERNAMA
