KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Kerajaan akan terus mengambil langkah-langkah yang perlu dalam berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata keadaan ekonomi global menjadi lebih mencabar pada bulan ini berbanding tiga bulan lepas iaitu pada Februari.
"Pada akhir Februari, harga minyak mentah berada pada US$70 setong...hari ini (harga telah melonjak) kepada US$115 dolar setong. Lonjakan ini terlalu tinggi, maknanya kesan (ketidaktentuan) ekonomi itu (turut dirasai) di seluruh dunia.
"Ada (kekurangan) bahan-bahan bagi yang bekerja di ladang, seperti kekurangan fosfat dalam masa singkat, selain harga diesel naik. Mereka yang bekerja di kilang, yang bawa lori...semuanya terkesan," kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Hari Pekerja sempena Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Menjelaskan selanjutnya, Anwar berkata Malaysia juga masih mengekalkan harga subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) pada RM1.99 seliter meskipun kebanyakan negara pengeluar minyak lain telah menaikkan harga.
"Sebab itu saya minta golongan pekerja faham sebab apa saya berkeras kekalkan harga minyak pada harga RM1.99 seliter.
"Tekanan daripada pakar-pakar ekonomi, golongan korporat semua mencadangkan (kepada saya) agar menjadi realistik. (Oleh itu) saya realistik, jaga ekonomi negara, jaga rakyat, tetapi saya juga turut renungkan bagaimana nasib golongan pekerja terutama di peringkat bawahan," kata beliau.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata kerajaan juga menerusi Kementerian Kewangan telah mengumumkan tambahan jaminan RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas susulan krisis bekalan global berikutan perang Amerika Syarikat dan Iran di Asia Barat.
Kerajaan juga melalui Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan sejumlah RM5 bilion bagi Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS yang menjadikan keseluruhannya RM10 bilion untuk membantu meringankan beban PMKS yang terjejas susulan krisis berkenaan.
"Ini kerana jumlah pekerja di syarikat-syarikat PMKS ini terlalu ramai...mereka menjadi kekuatan menjana pertumbuhan ekonomi negara," kata Anwar.
-- BERNAMA
