AM

HAIWAN RAYAU JADI 'PEMBUNUH SENYAP', NYAWA PENGGUNA JALAN RAYA JADI TARUHAN

01/05/2026 02:07 PM

Oleh Siti Maisarah Ahmad dan Habsah Ismail

GUA MUSANG, 1 Mei (Bernama) -- Masalah haiwan ternakan berkeliaran tanpa kawalan di laluan utama di jajahan ini terus menghantui penduduk setempat dan pengguna jalan raya meskipun meskipun pelbagai langkah penguatkuasaan telah dilaksanakan.

Masalah haiwan rayau yang berlarutan ini bukan sahaja mengundang kerosakan harta benda dan kecederaan, malah turut meragut nyawa dengan ratusan kemalangan direkodkan saban tahun serta kerugian mencecah jutaan ringgit.

Tinjauan Bernama baru-baru ini mendapati kehadiran lembu di laluan utama, khususnya pada waktu malam di kawasan gelap, berselekoh dan jauh dari penempatan, meningkatkan risiko kemalangan apabila haiwan itu muncul secara tiba-tiba di atas jalan raya.

Situasi itu menjadikan kemalangan melibatkan haiwan rayau bukan lagi kejadian terpencil, sebaliknya isu berulang yang terus membahayakan nyawa pengguna jalan raya.

Ketua Jajahan Gua Musang, Mohd Roshdi Ismail berkata sepanjang 2024, sebanyak 191 kes kemalangan melibatkan lembu direkodkan dengan anggaran kerugian melebihi RM1.14 juta.

Beliau berkata pada 2025 pula sebanyak 176 kes dicatatkan dengan kerugian lebih RM1 juta, manakala sehingga April tahun ini, 42 kes direkodkan membabitkan kerugian lebih RM252,000.

“Jumlah ini masih tinggi dan membimbangkan kerana setiap kes membawa implikasi kepada keselamatan, termasuk kecederaan, trauma serta kehilangan nyawa,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata pihak berkuasa tempatan telah melaksanakan lima hingga enam operasi tangkapan setiap tahun dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Pada 2024 sebanyak 22 tangkapan direkodkan dan 10 kompaun dikeluarkan manakala pada 2025 sebanyak 19 tangkapan dengan 13 kompaun dikenakan terhadap pemilik ternakan yang gagal mengawal haiwan mereka.

Mohd Roshdi berkata haiwan yang tidak dituntut dalam tempoh tujuh hari akan dilelong berikutan kapasiti kandang simpanan yang terhad.

“Pada 2024, sebanyak 11 ekor lembu dilelong dan lapan ekor pada 2025,” kata beliau yang juga merupakan Yang Dipertua Majlis Daerah Gua Musang.

Katanya, pemilik ternakan boleh dikenakan kompaun mengikut bilangan ternakan yang ditangkap selain denda harian dan kos operasi.

Beliau berkata tahap kesedaran penternak masih belum mencukupi untuk menyelesaikan isu itu secara menyeluruh, antaranya disebabkan kekurangan kawasan ragut, jumlah ternakan yang tinggi serta sikap sambil lewa terhadap risiko kemalangan.

Justeru sebagai langkah jangka panjang Mohd Roshdi turut mencadangkan sistem penandaan ternakan diperkasakan lagi bagi memudahkan pengesanan pemilik serta pihak berkaitan menyediakan kawasan padang ragut khas tambahan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata ancaman haiwan rayau berada pada tahap kritikal, khususnya pada waktu malam dan ketika hujan.

Beliau berkata haiwan berwarna gelap sukar dilihat di kawasan kurang pencahayaan, menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak.

“Apabila pemandu menyedari kehadiran haiwan, jarak sudah terlalu dekat untuk membrek,” katanya.

Sik berkata haiwan juga cenderung berada di atas jalan berturap pada waktu malam kerana permukaan yang masih panas selepas hujan.

Katanya, polis turut mengenal pasti beberapa lokasi panas kemalangan melibatkan haiwan rayau di laluan Gua Musang-Kuala Krai dan Gua Musang-Jeli.

Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan memperlahankan kenderaan ketika melalui kawasan berkenaan, terutama pada awal pagi dan waktu malam.

Sik berkata polis akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam operasi penguatkuasaan serta mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik ternakan yang cuai.

Beliau turut mencadangkan agar hukuman sedia ada ditambah baik supaya memberi kesan lebih tegas kepada pihak yang gagal mengawal haiwan masing-masing.

Isu haiwan rayau bukan sekadar melibatkan kerugian harta benda, sebaliknya memberi ancaman langsung kepada keselamatan awam.

Kecuaian pemilik ternakan boleh mengundang tragedi, sekali gus menuntut tindakan lebih tegas bagi memastikan nyawa pengguna jalan raya tidak terus menjadi taruhan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan