AM

RIBUT, EMPAT SEKOLAH DI DAERAH SPU TERJEJAS SMK HAJI ABDUL KADIR PALING TERUK TERJEJAS

01/05/2026 03:47 PM

KEPALA BATAS, 1 Mei (Bernama) -- Sebanyak empat sekolah di Daerah Seberang Perai Utara (SPU), termasuk sebuah sekolah rendah terjejas dalam kejadian ribut lewat petang semalam.

Pengarah Pendidikan Negeri Pulau Pinang Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata sekolah terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Abdul Kadir dan Sekolah Kebangsaan (SK) Hashim Awang di Kepala Batas, serta SMK Gemilang dan SMK Permatang Tok Jaya di Butterworth.

Bagaimanapun, beliau berkata sekolah paling terjejas teruk ialah SMK Datuk Haji Abdul Kadir apabila bumbung sebuah blok yang menempatkan lima kelas diterbangkan angin kencang sehingga merosakkan struktur bangunan yang terletak di tingkat satu sekolah berkenaan.

“Sekolah lain hanya mengalami kerosakan kecil melibatkan bilik-bilik tertentu dan tidak menjejaskan sesi pembelajaran ,dengan kerja pembaikan boleh dibuat dalam tempoh terdekat. Apa yang penting bagi kita adalah keselamatan pelajar dan alhamdulillah kejadian semalam berlaku selepas waktu persekolahan. 

“Dalam tempoh tiga hari, iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad, kita akan memberikan tumpuan kepada kerja-kerja pembersihan bagi memastikan pelajar yang kembali ke asrama pada Ahad berada dalam keadaan selamat, dan sesi persekolahan pada Isnin dapat berjalan dengan teratur,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau ditemui selepas mengadakan tinjauan ke SMK Datuk Haji Abdul Kadir bagi melihat keadaan sekolah berkenaan bersama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Mengulas lanjut, Mohamad Dziauddin berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan pihak sekolah dan pengetua juga memaklumkan telah mengenal pasti beberapa bilik khas seperti makmal dan bengkel untuk dijadikan kelas sementara bagi lima kelas yang terjejas, melibatkan kira-kira 230 pelajar tingkatan dua.

Sementara itu, Reezal Merican berkata kejadian ribut kuat yang melanda Kepala Batas semalam telah mengakibatkan pelbagai kerosakan ke atas premis persendirian serta institusi pendidikan, dan pihaknya telah mengatur bantuan awal untuk disalurkan kepada mangsa terlibat.

Beliau berkata dianggarkan lebih 90 rumah termasuk premis perniagaan, sekolah, hospital dan balai bomba di Kepala Batas terjejas dalam kejadian ribut dan angin kencang yang berlaku kira-kira 6 petang semalam, dengan kebanyakan kerosakan melibatkan struktur bumbung yang diterbangkan angin.

Dalam pada itu seorang mangsa, Muhamad Roslan Abd Rahim,72, dari Kampung Permatang Bertam berkata ketika kejadian dia berada di rumah bersama isteri, anak dan cucu sebelum mendengar bunyi guruh kuat disusuli hujan serta angin kencang.

Dia pada awalnya menyangka bumbung bahagian hadapan rumah yang tercabut, namun terkejut apabila mendapati struktur garaj rumahnya sudah diterbangkan angin bersama empat batang tiang besi.

“Pakcik ingat bumbung depan yang tercabut, tapi bila keluar tengok rupanya garaj sekali dengan empat batang besi diterbangkan angin kira-kira 15 meter ke kawasan tanah lapang di tepi rumah.  

“Kejadian berlaku sekelip mata, angin macam puting beliung, namun pakcik bersyukur semuanya selamat,” katanya sambil memaklumkan mengalami kerugian dianggarkan antara RM15,000 hingga RM20,000.

Pesara kerajaan itu berkata ini kali pertama kejadian seumpamanya berlaku sejak menetap di kampung itu lebih 30 tahun lepas. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan