TELUK INTAN, 1 Mei (Bernama) -- Perayaan Chithirai Pournami disambut meriah dengan kira-kira 30,000 penganut Hindu membanjiri Kuil Sri Thendayuthapani, di Jalan Bandar di sini.
Kemeriahan dirasai apabila penganut Hindu tiba di kuil berusia lebih 150 tahun itu sejak awal pagi tadi untuk menyempurnakan nazar masing-masing, yang dimulakan dengan upacara paal koodam atau menjunjung belanga mengandungi susu, diikuti upacara sembahyang, membawa kavadi dan memecahkan kelapa.
Pihak berkuasa tempatan, anggota polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bertindak mengawal lalu lintas, bagi memastikan kelancaran acara sepanjang perayaan itu berlangsung selama tiga hari berturut-turut bermula hari ini.
Chithirai Pournami merujuk kepada bulan penuh yang jatuh pada bulan pertama dalam kalendar Tamil, Chithirai dan ia merupakan satu daripada perayaan penting bagi penganut Hindu di Malaysia.
Menurut kepercayaan agama Hindu, perayaan itu diadakan setahun sekali, bagi memperingati kelahiran seorang pembantu dewa yang dilahirkan ketika bulan penuh.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak Datuk A. Sivanesan berkata peniaga yang terlibat dengan perayaan Chithirai Pournami di sini, akan dipindahkan ke lokasi baharu bermula tahun depan.
Beliau berkata perkara itu susulan kerja-kerja menaik taraf Dataran Menara Condong di bandar Teluk Intan yang akan bermula Jun depan dan mengambil tempoh tiga tahun untuk disiapkan sepenuhnya.
“Kesemua peniaga akan dipindahkan ke Jalan Mahkota, yang merupakan tapak Bazar Ramadan Teluk Intan," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau sambutan perayaan Chithirai Pournami di sini hari ini.
Sivanesan berkata notis awal telah diberikan kepada para peniaga, bagi membolehkan mereka membuat persediaan sewajarnya.
Beliau berkata langkah pemindahan itu juga penting dalam usaha mengurangkan kesesakan dan meningkatkan keselesaan pengunjung yang menghadiri perayaan berkenaan setiap tahun.
-- BERNAMA
