KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengingatkan bahawa UMNO tidak seharusnya terus bergantung kepada kekuatan sejarahnya untuk meraih sokongan rakyat.
Beliau yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata landskap politik negara telah berubah secara drastik, sekali gus menuntut parti itu menyesuaikan pendekatan dengan realiti semasa khususnya dalam kalangan generasi muda.
Johari berkata berdasarkan pengalaman beliau berdialog bersama pelajar sebelum ini, soal kesetiaan kepada parti bukan lagi keutamaan dalam kalangan generasi muda.
Sebaliknya, beliau berkata golongan berkenaan lebih menilai parti berdasarkan prestasi, integriti dan kemampuan menyelesaikan masalah rakyat termasuk kos sara hidup dan peluang pekerjaan.
“Kita kena sedar bahawa pengundi Melayu banyak pilihan, mereka mempunyai cita rasa yang pelbagai dan kita juga kena sedar imej dan integriti parti masih belum pulih,” katanya ketika berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.
Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyeru seluruh ahli UMNO supaya mengikis sikap prejudis terhadap mereka yang pernah berkecil hati dengan parti itu dan mengutamakan agenda penyatuan yang lebih besar dan matang.
Menteri Besar Pahang itu berkata gagasan Rumah Bangsa harus menjadi platform yang inklusif dan pemaaf, bukannya sekadar bergema sebagai retorik politik di peringkat kepimpinan semata-mata.
“Rumah Bangsa ini tidak boleh hanya bergema di pentas kepimpinan sahaja. Ia mesti hidup dan berakar di semua peringkat, cawangan, bahagian, kampung dan bandar,” katanya.
Rumah Bangsa ialah inisiatif penyatuan semula UMNO yang diperkenalkan oleh Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menyatukan orang Melayu dan menerima kembali bekas ahli menyertai parti itu.
-- BERNAMA
