GEORGE TOWN, 3 Mei (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan penjimatan sebanyak RM20 juta tahun ini bagi menyokong langkah kerajaan melaksanakan perbelanjaan berhemah susulan ketidaktentuan ekonomi global.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berkata ia selaras dengan arahan Kementerian Kewangan (MOF) untuk menyelaraskan perbelanjaan yang diperuntukkan tahun ini, khususnya yang melibatkan perbelanjaan pengurusan.
“Penjimatan ini tidak melibatkan perbelanjaan pembangunan atau kebajikan rakyat sebaliknya tertumpu kepada kos operasi kerajaan.
“Contohnya, kos yang perlu dikurangkan termasuk perjalanan ke luar negara termasuk pada peringkat menteri, acara keraian seperti kenduri dan majlis besar perlu diminimumkan selain pengambilan pegawai baharu dihentikan sementara. Ini turut merangkumi pembelian aset yang akan dikurangkan sebagai sebahagian langkah penjimatan,” katanya.
Sim berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan bersama-sama Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow pada program Jelajah Ketua Menteri ke Pasar Awam Pulau Tikus di sini hari ini.
Langkah penjimatan itu, menurut beliau penting memandangkan dunia kini berhadapan ketidaktentuan termasuk krisis bekalan minyak, krisis bekalan serta konflik geopolitik di Asia Barat yang dijangka berlarutan dalam tempoh panjang.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata kerajaan perlu memastikan kebajikan rakyat tidak terjejas dan impak terhadap ekonomi serta perniagaan diminimumkan di samping memastikan ruang fiskal mencukupi untuk terus menyalurkan bantuan seperti subsidi, pembangunan perniagaan dan program kebajikan.
Dalam pada itu, Sim berkata KUSKOP akan terus mengekalkan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM750 juta tahun ini tanpa sebarang pengurangan.
Selain itu, beliau berkata KUSKOP juga komited menyalurkan pembiayaan sehingga RM15 bilion bagi menyokong perniagaan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta sektor korporat.
“Penjimatan ini pada perbelanjaan kerajaan sendiri, bukan melibatkan rakyat. Malah, kita akan terus membelanjakan dana pembangunan dan kebajikan bagi melindungi rakyat serta ekonomi negara,” katanya.
Pada 30 April, MOF menegaskan panduan pelarasan perbelanjaan mengurus hanya melibatkan perbelanjaan tidak kritikal manakala perbelanjaan teras termasuk perkhidmatan asas, keselamatan, kesihatan dan pendidikan diteruskan seperti diluluskan dalam Belanjawan 2026.
MOF memaklumkan peruntukan bagi kementerian kritikal seperti Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan tidak terjejas, memandangkan dua kementerian itu antara penerima peruntukan tertinggi dalam belanjawan tahun ini.
-- BERNAMA
