KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Agenda pemerkasaan Bumiputera dilaksanakan dengan lebih lantang, tegas dan berani di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI sejak tiga tahun lepas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pendekatan itu, membuktikan kerajaan tidak pernah mendukung elitisme hingga meminggirkan kepentingan kaum Bumiputera seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Beliau menarik perhatian, terhadap keputusan kerajaan memberikan tempat secara automatik ke program matrikulasi kepada semua pelajar yang memperoleh keputusan 10A tanpa mengira kaum, namun pada masa yang sama tetap menjamin kuota sedia ada bagi Bumiputera.
“Dalam masa yang sama, 90 peratus anak Bumiputera turut diberikan peluang melalui program matrikulasi, sekali gus mencerminkan pendekatan inklusif kerajaan.
“Justeru, dalam perbahasan, jangan hanya memilih satu aspek sahaja tanpa melihat keseluruhan dasar secara menyeluruh, jangan cetuskan persepsi persaingan zero-sum game,” kata beliau ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan 60 Tahun MARA di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah MARA Datuk Zulfikri Osman.
Perdana Menteri berkata meskipun asas dasar kerajaan kekal konsisten dan tidak berubah, ia perlu dilaksanakan dengan kewarasan dan kebijaksanaan, bagi memastikan kestabilan negara terus terpelihara.
Beliau berkata Malaysia tidak akan sesekali berganjak daripada prinsip justice as fairness, khususnya dalam memastikan pembelaan terhadap golongan yang terpinggir dan terabai.
Perdana Menteri berkata tanggungjawab memperkasakan agenda Bumiputera turut diamanahkan kepada Timbalan Perdana Menteri serta barisan menteri, bagi memastikan pelaksanaannya diberi keutamaan serta dibentangkan secara menyeluruh pada peringkat Jemaah Menteri.
Anwar berkata sepanjang tiga tahun pentadbiran, pelbagai keputusan penting termasuk yang bersifat kontroversi, berjaya dicapai antaranya pengisytiharan Tanah Rizab Melayu yang merupakan antara langkah pertama seumpamanya dilakukan sejak 1997.
“Dalam pendidikan, peranan MARA terus diperkukuh dengan peningkatan peruntukan kepada RM43 bilion, yang memberi manfaat kepada lebih 1.8 juta pelajar termasuk melalui pendekatan seperti Ulul Albab, yang membuktikan pelajar Bumiputera mampu cemerlang dalam sistem pendidikan yang menyeluruh serta seimbang antara ilmu moden dan nilai agama,” kata beliau.
Dari sudut ekonomi, Anwar menarik perhatian mengenai perkembangan positif pendapatan isi rumah Bumiputera yang meningkat lebih 10 peratus daripada sekitar RM6,300 pada 2022 kepada RM7,000 pada 2024, meskipun mengakui masih wujud jurang yang perlu diberi perhatian.
Beliau berkata selain mengutamakan pembasmian kemiskinan tegar yang kini membuahkan hasil di Pahang dan Perak, kerajaan turut menambah peruntukan pembangunan bagi negeri-negeri relatif lebih miskin, termasuk yang tidak bersama kerajaan Persekutuan menerusi peningkatan peruntukan yang signifikan.
Selain itu, Anwar berkata peruntukan kepada kementerian berkaitan luar bandar turut ditingkatkan, manakala kadar pengangguran mencatat penurunan ke paras terendah dalam tempoh 10 tahun.
“Kerajaan turut memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam sektor bernilai tinggi, melalui kerjasama agensi seperti Khazanah Nasional Berhad, Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Selain itu, kerajaan menyasarkan penguasaan Bumiputera menjelang 2035 menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35),” kata Anwar.
Perdana Menteri berkata kerajaan juga menggerakkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, untuk melatih serta meningkatkan keupayaan Bumiputera dalam bidang baharu seperti semikonduktor, tenaga hijau dan teknologi.
-- BERNAMA
