PASIR PUTEH, 3 Mei (Bernama) -- Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menerusi Program Sinar Lestari membelanjakan RM17.02 juta melibatkan 374 projek bina baharu dan baik pulih kediaman di seluruh negara bermula 2020 hingga Mac tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata sebanyak 228 projek baik pulih dan 146 bina baharu dilaksanakan dengan 268 projek telah siap manakala baki 106 lagi dalam proses pembinaan.
Beliau berkata secara keseluruhan sejak 1985 hingga Disember 2025 YAPEIM telah mengagihkan lebih RM753 juta membabitkan lebih 10.1 juta penerima manfaat di seluruh negara.
“Ia melibatkan pelbagai teras program, iaitu pembangunan ekonomi, pendidikan dan kemasyarakatan yang dilakukan secara inklusif dan sistematik di bawah kempen #MadaniMembantu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas Majlis Penyerahan Rumah Program Sinar Lestari YAPEIM kepada asnaf Siti Khadijah Zulkifli, 38, yang menerima bantuan bina baharu kediaman berjumlah RM80,000 di sini hari ini.
Terdahulu, Zulkifli turut melakukan penyerahan rumah jenis sama kepada asnaf Mohd Kamal Yaakob, 44 di Jerteh, Terengganu.
-- BERNAMA
