SHAH ALAM, 3 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor bercadang untuk memasukkan sambutan perayaan tahun baharu Vishu dan perayaan komuniti kecil lain ke dalam kalendar rasmi negeri bermula tahun hadapan sebagai usaha mengiktiraf kepelbagaian budaya.
Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan negeri V Papparaidu berkata cadangan itu bagi memperkasakan kepelbagaian etnik di bawah pentadbiran sedia ada, sekali gus memastikan setiap kelompok masyarakat menerima pengiktirafan sewajarnya tanpa ada yang terpinggir.
"Saya akan pastikan setiap tahun kita dapat menjalankan program sebegini agar tiada komuniti tertinggal, termasuk kaum Malayali yang merayakan Vishu dan kita (kerajaan negeri) akan cuba masukkan ke dalam kalendar Selangor tahun depan kerana matlamat saya adalah untuk melaksanakan sambutan kebudayaan secara lebih teratur dan menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Perayaan Vishu Peringkat Negeri yang berlangsung di Dewan Azalea, Seksyen 25, Taman Sri Muda, malam ini.
Majlis yang penuh warna-warni itu turut dihadiri barisan pimpinan Persatuan Malayalam serta wakil komuniti dari seluruh Selangor.
Papparaidu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting berkata penganjuran program tersebut signifikan dalam menonjolkan identiti unik subetnik India yang mempunyai kepelbagaian tradisi tersendiri.
"Masyarakat India mempunyai kepelbagaian sambutan yang unik seperti Vaisakhi, Ugadi, Puthandu dan juga Vishu yang merupakan tahun baharu bagi kaum Malayali.
“Walaupun kelompok Malayali ini kecil jumlahnya, namun bahasa, tulisan dan seni tarian mereka sangat eksklusif serta tidak boleh ditemui di mana-mana bahagian dunia lain,” katanya.
Papparaidu berkata walaupun agihan dana pada masa ini masih berada pada skala yang kecil, beliau percaya peruntukan tersebut bakal ditambah baik mengikut kesesuaian pada masa akan datang.
Menurut beliau, usaha memperluas sambutan kebudayaan ini merupakan tanggungjawab sosial dalam merakyatkan agenda perpaduan selaras dengan prinsip Malaysia MADANI.
"Saya percaya kerajaan negeri akan mengkaji semula kaedah untuk memperkembangkan lagi dana serta sokongan terhadap program-program kebudayaan seumpama ini kerana fokus utama kita bukan sekadar nilai material tetapi keikhlasan kerajaan untuk bersama-sama meraikan perayaan yang mampu membawa kegembiraan kepada rakyat,” katanya.
-- BERNAMA
