JENAYAH & MAHKAMAH

LELAKI DISYAKI HINA SULTAN SELANGOR DITAHAN DI BUKIT MERTAJAM

03/05/2026 11:55 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki warga tempatan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang petang tadi kerana disyaki memuat naik hantaran gambar berunsur penghinaan terhadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M Kumar berkata suspek berusia 30-an itu ditahan pada 7.10 malam oleh sepasukan polis dari JSJ Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Beliau berkata dua unit telefon bimbit jenama Samsung berserta kad sim turut dirampas, dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran berkenaan.

“Tangkapan dibuat susulan siasatan terhadap akaun Facebook 'Lucas Liam' yang dipercayai memuat naik kandungan menghina itu pada 2 Mei lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya,  kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5) Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Sehingga kini, sebanyak 12 laporan polis telah diterima dari seluruh negara berhubung isu sama manakala permohonan reman terhadap suspek dibuat esok, (4 Mei),” katanya.

Kumar turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial, khususnya melibatkan isu sensitiviti agama, raja dan kaum (3R), yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Tindakan undang-undang akan diambil tanpa kompromi demi memelihara keselamatan negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan