AM

AKTIVITI KEAGAMAAN DI SURAU AL-FAHMI UBATI KERINDUAN KELUARGA TERHADAP ALLAHYARHAM AHMAD AZZA FAHMI

05/05/2026 10:52 AM

Oleh Muhamad Adzhar Tajuddin

TAPAH, 5 Mei (Bernama) -- Pelbagai aktiviti keagamaan di Surau Al-Fahmi, Kampung Poh Tambahan dekat Bidor menjadi pengubat kerinduan seorang bapa terhadap pemergian Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar yang terkorban dalam tragedi berdarah di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, dua tahun lepas.

Azhar Khaiden, 56, berkata surau yang dinamakan sempena nama anaknya itu kini menjadi tumpuan penduduk setempat untuk menunaikan solat lima waktu, selain turut menjadi pusat pengisian ibadah dan perhimpunan komuniti kampung.

“Surau ini dibina pada Ogos 2024 dan mula beroperasi pada Mac tahun lepas. Jadi sejak itu, surau ini bukan sahaja dijadikan sebagai tempat untuk menunaikan solat lima waktu, bahkan kita juga telah buat solat tarawih, solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha.

“Kami juga akan adakan tahlil setiap malam Jumaat di surau tersebut bagi mengingati dan mengubat kerinduan kami sekeluarga terhadap Allahyarham,” katanya ketika ditemui Bernama di kampung itu, semalam.

Pesara guru itu berkata selain menjadi pusat ibadah harian, Surau Al-Fahmi turut berfungsi sebagai pusat pengajian ilmu apabila program keilmuan diadakan dua kali sebulan dengan penglibatan guru agama bertauliah dari kawasan setempat.

Azhar berkata pengisian itu turut memberikan peluang kepada kebanyakan penduduk kampung menambah ilmu pengetahuan dalam bidang agama secara berterusan.

“Sambutan penduduk terhadap program yang dianjurkan amat menggalakkan lebih-lebih lagi apabila ia diadakan pada hujung minggu dengan penyertaan dari segenap lapisan penduduk kampung termasuk golongan belia.

“Paling menggembirakan apabila melihat kehadiran jemaah bukan sahaja dalam kalangan penduduk kampung, malah turut melibatkan orang luar. Situasi itu menunjukkan surau ini bukan sekadar kemudahan setempat, sebaliknya berperanan sebagai pusat komuniti yang lebih luas,” katanya.

Dalam usaha menambah baik keselesaan jemaah, pesara itu berkata sebahagian daripada wang simpanan Ahmad Azza Fahmi digunakan bagi menaik taraf kemudahan surau, termasuk pemasangan pendingin hawa (penyaman udara) serta beberapa keperluan asas lain. 

Langkah itu dilakukan bagi memastikan jemaah dapat beribadah dalam suasana lebih selesa, terutama ketika program keagamaan dan solat berjemaah.

“Ia (wang simpanan digunakan) sebagai satu amal jariah, selain berharap setiap manfaat yang dinikmati jemaah menjadi bekalan pahala berterusan buat Allahyarham,” kata Azhar.

Bapa kepada lapan cahaya mata itu berkata walaupun peristiwa yang menimpa anaknya sebelum ini amat perit untuk dikenang, dia kini lebih selesa melihat apa yang terhasil daripada sudut kebaikan.

“Sekarang apabila tengok surau ini, saya tak mahu ingat perkara sedih sangat kerana yang pergi itu tetap akan pergi, cuma kita yang masih hidup ini perlu lihat ke depan dan pastikan surau berkenaan memberikan manfaat pada masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Azhar turut merakamkan penghargaan kepada penduduk kampung dan semua pihak yang sentiasa menyokong serta memakmurkan surau berkenaan.

“Sokongan ini menjadi bukti bahawa nilai kebersamaan dan keprihatinan dalam sesebuah masyarakat. Saya berterima kasih kepada semua yang datang dan membantu untuk memastikan surau ini terus diimarahkan,” katanya.

Dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada 17 Mei 2024, dua konstabel Ahmad Azza Fahmi, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, cedera ditembak selepas diserang seorang penyerang lelaki yang akhirnya ditembak mati dalam insiden berkenaan.

Pada 7 Ogos 2024, keluarga Allahyarham Koperal Ahmad Azza Fahmi menginfakkan sumbangan yang diterima daripada Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) untuk pembinaan surau di Kampung Poh Tambahan dekat Bidor.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan