AM

ISTILAH "MOMOGUN" DICADANG GANTI "KDMR" DEMI KESATUAN PERIBUMI SABAH

05/05/2026 12:00 PM

Oleh Fadzli Ramli

KOTA KINABALU, 5 Mei (Bernama) -- Penggunaan istilah "Momogun" dicadangkan sebagai identiti sepunya bagi etnik Sabah untuk menggantikan singkatan "KDMR” yang merujuk Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus yang disifatkan kurang inklusif terhadap kesatuan masyarakat peribumi di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah Prof Datuk Dr Ramzah Dambul berkata KDMR perlu dinilai semula kerana singkatan itu secara sistemik dilihat meminggirkan kelompok etnik tertentu.

Beliau berkata singkatan berkenaan didominasi perwakilan rumpun etnik Dusunik antaranya Kadazan serta Dusun dan Murutik seperti Murut semata-mata, namun tiada perwakilan bagi rumpun etnik Paitanik seperti Sungai.

“Saranan ini disokong kuat menerusi resolusi Konvensyen Perdana Momogun pada Ogos 2024 yang menyaksikan 74 persatuan etnik dari seluruh Sabah mencapai kata sepakat menerima pakai Momogun sebagai rumpun identiti sepunya.

“Oleh itu, (istilah) Momogun wajar diangkat sebagai identiti generik yang lebih adil bagi menyatukan ketiga-tiga rumpun utama, iaitu Dusunik, Murutik dan Paitanik di bawah satu payung tanpa sentimen diskriminasi,” katanya kepada Bernama.

Momogun membawa maksud penduduk asal, pemilik tanah atau penduduk yang menetap sejak awal, dan berasal daripada perkataan lama dalam bahasa tempatan, iaitu “Pogun” yang bermaksud tanah nenek moyang. Momogun juga boleh membawa makna indigenous dan native dalam bahasa Inggeris.

Sabah mempunyai 35 kumpulan etnik dan lebih 200 subetnik yang bertutur dalam lebih 50 bahasa serta kira-kira 90 dialek.

Mengulas lanjut, Ramzah yang juga bekas Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata penggunaan terma Momogun sama sekali tidak akan menghapuskan identiti etnik yang spesifik.

"Masyarakat masih berpasak pada suku masing-masing seperti Dusun Bundu, Rungus, atau Lundayeh. Istilah Momogun ini hanya berfungsi sebagai pengikat kebersamaan menggantikan KDMR yang tidak merujuk konteks kepelbagaian sosiobudaya yang unik di Sabah," katanya.

Menyentuh sudut penggubalan dasar awam, penyatuan di bawah nama Momogun amat kritikal untuk dijadikan sebagai angka penyebut bersama atau common denominator dalam sistem statistik demografi negara.

Beliau turut membandingkan penyatuan ini dengan kejayaan konsep pengelompokan kumpulan “Orang Asli” di Semenanjung Malaysia dan rumpun “Dayak” di Sarawak.

Ramzah berkata langkah merangkumkan pelbagai subetnik ke dalam satu populasi data yang besar dan tidak berpecah-pecah amat diperlukan bagi mewajarkan pembentukan dasar kerajaan yang lebih tepat dan berkesan.

"Hal ini secara langsung memudahkan penyaluran peruntukan dan intervensi khusus, terutamanya dalam menangani isu kemiskinan luar bandar, akses ekonomi serta peluang pendidikan di Sabah," katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) memberikan pengiktirafan rasmi terhadap istilah Momogun bagi memberikan legitimasi institusi kepada resolusi akar umbi tersebut.

“Pengiktirafan itu bukan sahaja bakal mewujudkan suasana sambutan Pesta Kaamatan bulan ini yang lebih harmoni, malah mampu mencipta ruang tatakelola dasar masa depan yang lebih holistik buat peribumi Sabah,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan