ISKANDAR PUTERI, 5 Mei (Bernama) -- Sebanyak RM7.04 juta telah dibelanjakan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) setakat 30 April lepas bagi memperkasakan agenda kebajikan dan bimbingan golongan mualaf di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata perbelanjaan itu disalurkan melalui Akaun Amanah Mualaf, yang menerima peruntukan keseluruhan berjumlah RM19.836 juta.
Beliau berkata jumlah itu merangkumi bantuan dalam aspek kebajikan, pendidikan, bimbingan agama serta keperluan asas, selaras dengan usaha memperkukuh penghayatan Islam dan kesejahteraan hidup golongan berkenaan.
"Setakat ini, prestasi perbelanjaan mencatatkan kadar 35.5 peratus dengan baki peruntukan yang masih ada berjumlah RM12.796 juta.
“Pihak Bahagian Dakwah JAINJ melalui akaun amanah ini sentiasa komited dalam menyediakan pelbagai bentuk bantuan demi memastikan keperluan saudara baharu kita sentiasa terjaga," katanya semasa sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Ramlee Bohani (BN-Kempas) apakah inisiatif terbaharu berbentuk bantuan dan pemerkasaan sosial terhadap golongan mualaf di negeri Johor melalui JAINJ.
Antara inisiatif terbaharu berbentuk bantuan dan pemerkasaan sosial terhadap golongan mualaf ialah Bantuan Pengajian Anak Mualaf Peringkat Rendah, Menengah, Diploma dan Ijazah; Bantuan Perkahwinan; Bantuan Deposit dan Sewaan Rumah; Bantuan Guaman serta Bantuan Ibu Bapa Mualaf.
Mohd Fared berkata pengurusan dana berkenaan dilakukan secara teliti bagi memastikan setiap bantuan sampai kepada sasaran, sekali gus membantu kelangsungan hidup mualaf secara menyeluruh.
-- BERNAMA
