KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan aliran peningkatan pada tengah hari ini, menjejaki prestasi pasaran serantau yang kukuh dalam senario kemajuan rundingan damai Amerika Syarikat (AS)-Iran, kata penganalisis.
Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 10.65 mata atau 0.61 peratus kepada 1,758.08 berbanding paras penutup semalam pada 1,747.43.
Indeks penanda aras itu yang dibuka naik 1.65 mata kepada 1,749.08, bergerak dalam julat antara 1,746.80 hingga 1,760.12 sepanjang sesi dagangan pagi.
Sentimen pasaran kekal positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 637 berbanding 445, sebanyak 552 kaunter tidak berubah, 998 tidak diniagakan dan 10 digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 2.17 bilion unit bernilai RM1.70 bilion.
Dalam perkembangan lain, laporan media menyatakan Presiden AS Donald Trump telah bertindak menggantung operasi ketenteraan bagi tujuan membuka Selat Hormuz.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) menyatakan susulan sentimen positif Wall Street, FBM KLCI dijangka menyaksikan aliran dagangan meningkat, didorong oleh momentum teknikal yang lebih ketara selepas mencecah semula aliran peningkatan bagi tempoh lebih lama.
“Indeks itu telah melantun, disokong oleh jangkaan pelaporan pendapatan suku pertama 2026 yang secara menyeluruh positif merentasi sektor perbankan, utiliti, tenaga dan penjagaan kesihatan selain mudah tunai domestik serta latar belakang makroekonomi yang turut membantu.
“Kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih tenaga juga menjadi penampan relatif terhadap harga minyak yang tinggi berbanding negara serantau. Namun sentimen dijangka kekal dipacu oleh perkembangan yang menjadi laporan utama,” katanya.
Dari segi teknikal, paras sokongan utama dijangkakan pada paras 1,700, 1,710 dan 1,730 manakala paras rintangan pula pada 1,754 dan 1,771.
Bagi saham wajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM11.22, Public Bank dan CIMB Group masing-masing meningkat tiga sen kepada RM4.78 dan RM7.92, Tenaga Nasional kekal tidak berubah pada RM14.80 manakala IHH Healthcare susut tiga sen kepada RM8.80.
Saham paling aktif didahului Zetrix AI dan GIIB Holdings yang kekal mencatat 86.5 sen dan 18.5 sen, Manforce sebaliknya susut tiga sen kepada 35 sen manakala YTL Corp naik 22 sen kepada RM2.31.
Kaunter paling untung menyaksikan Malaysian Pacific Industries melonjak RM3.56 kepada RM41.06, Unisem dan Dutch Lady Milk Industries masing-masing naik 30 sen kepada RM3.80 dan RM33.00 manakala MISC meningkat 27 sen kepada RM8.79.
Sebaliknya kaunter dengan kerugian ketara didahului Nestle yang merosot 80 sen kepada RM100.90, Fraser & Neave turun 74 sen kepada RM28.82, Batu Kawan turun 30 sen kepada RM21.00 dan Kuala Lumpur Kepong rugi 14 sen kepada RM21.36.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas naik 77.12 mata kepada 12,964.46, Indeks FBM Top 100 meraih 77.52 mata kepada 12,809.14, Indeks FBM Emas Syariah menambah 71.26 mata kepada 12,937.81, Indeks FBM Mid 70 melonjak 110.88 mata kepada 18,380.36 dan Indeks FBM ACE naik 15.16 mata kepada 4,616.23.
Mngikut sektor, Indeks Tenaga susut 5.33 mata kepada 830.30 dan Indeks Perladangan turun 22.85 mata kepada 8,984.35, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.68 mata kepada 198.35 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan meraih 67.75 mata kepada 20,202.08.
-- BERNAMA
