AM

PENDAFTARAN DIBUKA, MEDIA DAN ORANG RAMAI DIPELAWA SERTAI FUN WALK HAWANA 2026

06/05/2026 02:51 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Pendaftaran Program HAWANA Fun Walk 2026 yang julung kali dianjurkan bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) kini dibuka kepada orang ramai hinggga 15 Mei ini.

Program berjalan santai anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) itu akan berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa pada 14 Jun ini, dengan matlamat menghimpunkan masyarakat dan pengamal media sambil memupuk gaya hidup sihat dalam suasana santai serta mesra komuniti.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata sambutan HAWANA bukan sekadar meraikan rakan-rakan media, malah menjadi platform yang menyatukan warga industri melalui semangat kebersamaan dan perpaduan.

“Kita bukan sahaja menyampaikan berita kepada masyarakat, tetapi turut menyokong usaha membudayakan gaya hidup sihat seiring dengan program-program kesihatan kerajaan.

“Justeru, Fun Walk HAWANA mencerminkan semangat pengamal media yang sentiasa bergerak ke hadapan, aktif, positif dan bersatu, “ katanya.

Nur-ul Afida yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 berkata penyertaan program itu, yang turut dibuka kepada orang awam memberikan peluang kepada masyarakat untuk berinteraksi dan mengenali lebih dekat bidang pekerjaan dalam industri media.

“Bagi saya, setiap langkah dalam Fun Walk HAWANA melambangkan semangat kerjasama dan keharmonian industri media negara,” katanya. 

Orang ramai yang berminat boleh membuat pendaftaran dengan mengimbas kod QR yang disediakan pada poster rasmi, atau boleh mendaftar melalui laman sesawang https://hawana.my/hawanafunwalk/. Penyertaan adalah terhad dan pendaftaran awal amat digalakkan. 

Dengan yuran pendaftaran RM30, peserta bukan sahaja berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah, malah turut menerima kemeja-T, medal dan beg eksklusif. Barangan penyertaan boleh dituntut di Lobi Wisma Bernama pada 13 Jun bermula 10 pagi hingga 4 petang.

Selain Fun Walk, sambutan HAWANA 2026 yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana turut menampilkan pelbagai acara lain termasuk forum media, pesta pantun, pameran dan karnival sukan.

Kemuncak sambutan HAWANA 2026 bakal berlangsung di Pulau Pinang pada 20 Jun ini, dan dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan