AM

JHEV ATM SANTUNI TIGA VETERAN, DUA BALU MENERUSI ZIARAH KASIH KTP

06/05/2026 03:15 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini menyantuni tiga veteran dan dua balu veteran yang berdepan pelbagai cabaran hidup menerusi Program Ziarah Kasih Kempen Tabung Pahlawan (KTP).

Program yang diadakan bersama penaung kempen iaitu Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu melibatkan kunjungan ke lima kediaman di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, Cheras bagi meninjau keadaan kesihatan, kebajikan serta keperluan semasa penerima, selain menyampaikan sumbangan.

Penerima bantuan merangkumi balu veteran Tentera British serta Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), di samping veteran daripada RAMD, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Kor Ordnans Diraja (KOD).

Ketua Pengarah JHEV ATM Mej Jen Datuk Semaon Marjuki berkata program berkenaan merupakan sebahagian usaha berterusan kerajaan bagi menghargai jasa serta pengorbanan veteran yang pernah berkhidmat demi keamanan negara.

Beliau berkata pelbagai inisiatif bantuan disediakan melalui JHEV ATM termasuk kepada veteran dalam kategori miskin tegar bandar yang berpendapatan isi rumah di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) nasional, selain memaklumkan jabatan itu kini menggunakan sistem Veteran Integrated Benefit System (VIBES 2.0) bagi memastikan bantuan kerajaan disalurkan kepada mereka yang benar-benar layak.

“Kita nak pastikan tiada veteran yang terlepas pandang kerana sebelum ini mereka kurang cakna terhadap sistem yang kita ada. Jadi sekarang, semua data veteran perlu dikemas kini supaya bantuan dapat dipanjangkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya kepada pemberita selepas kunjungan itu. 

Sementara itu, Dr Wan Azizah yang juga isteri Perdana Menteri berkata pendekatan turun padang penting bagi memastikan golongan veteran dan balu veteran yang tercicir dapat dikenal pasti serta dibantu.

“Kadang-kadang kita kena buat outreach (program bantuan) sebab ada yang terlepas pandang atau tidak semak bantuan yang ada. Jadi kita cuba dekati dan santuni mereka dengan lebih baik,” katanya.

Penerima bantuan, Grace Esther Ghaniah Paul Raj, 70, menzahirkan rasa terharu dan gembira atas bantuan yang diterimanya yang sedikit sebanyak membantu meringankan beban kehidupan ditanggung.

Grace berkata mendiang suaminya merupakan anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 2007 selepas berkhidmat selama 13 tahun dalam ATM, dan sejak itu, dia banyak bergantung kepada anak lelakinya yang bekerja sebagai pemandu bas selain Bantuan Sara Hidup (BSH) bagi menampung perbelanjaan bulanan.

“Saya menghadapi banyak masalah kesihatan termasuk kanser tumor dan perlu menjalani rawatan setiap dua bulan di Hospital Kuala Lumpur. Sekarang barang semua mahal, jadi bila ada bantuan ini ia boleh sedikit membantu,” katanya.

Turut hadir dalam kunjungan itu ialah Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM Lt Kol Azwadi Jamian.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan