LAHAD DATU, 6 Mei (Bernama) -- Pengukuhan keselamatan di kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) menjadi agenda utama kerajaan negeri bagi merealisasikan hasrat Sabah sebagai hab ekonomi biru di rantau Asia Timur.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata tanpa jaminan keselamatan yang menyeluruh, potensi besar hab ekonomi biru yang merangkumi industri perikanan moden, maritim dan pembangunan bandar pesisir tidak akan dapat berkembang.
"Aspek keselamatan kekal menjadi pemangkin utama bagi memacu kemakmuran dan pertumbuhan ekonomi negeri dalam fasa Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
"Jaminan keselamatan yang kukuh ialah asas kepada kestabilan ekonomi bagi memastikan keyakinan pelabur terus kekal tinggi, sekali gus membolehkan aktiviti ekonomi berkembang tanpa batasan," katanya ketika berucap pada majlis bersempena dengan tinjauan keselamatan ketua menteri ke ESSZone di sini hari ini.
Hajiji berkata masyarakat setempat diharapkan memainkan peranan besar sebagai “mata dan telinga” pasukan keselamatan dengan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan di sekitar mereka.
"Keselamatan ialah tanggungjawab bersama. Kerjasama erat antara rakyat dengan pihak berkuasa ialah kunci utama dalam mencegah sebarang insiden yang tidak diingini demi keamanan Sabah yang tercinta," katanya.
Hajiji turut menasihati semua pihak agar tidak lalai dengan sebarang ancaman terhadap Sabah, malahan pendekatan keselamatan itu perlu sentiasa diperkasakan, menjadi lebih dinamik dan berpandangan jauh ke hadapan melalui penggunaan teknologi terkini serta aset yang mantap.
-- BERNAMA
