KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Garis Panduan Sokongan Golongan Neurodivergen yang dilancarkan hari ini dijangka mampu menjadi pemangkin kepada laluan kerjaya berasaskan kemahiran, selain membantu menangani isu guna tenaga tidak penuh (underemployment) dalam komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) pembelajaran.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata garis panduan yang diperkenalkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu merupakan rangka kerja strategik dalam memperkukuh penyertaan tenaga kerja secara menyeluruh.
“Garis panduan ini adalah yang pertama diwujudkan di Malaysia, sekali gus bakal menjadi penanda aras kebangsaan dalam pembangunan dasar serta program pekerjaan yang lebih inklusif kepada OKU, terutamanya golongan neurodivergen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata golongan OKU sememangnya aktif dalam mencari pekerjaan dengan data daripada portal MYFutureJobs menunjukkan sebanyak 5,482 pencari kerja OKU neurodivergen telah berdaftar setakat ini.
“Namun, perlu kita terima, cabaran utama bukan terletak pada keupayaan individu tersebut, sebaliknya pada kesiapsiagaan pasaran buruh kita dalam menyediakan sokongan yang bersesuaian termasuk penyesuaian tempat kerja, fleksibiliti dan sistem sokongan yang lebih berstruktur.
“Peranan kerajaan hari ini melangkaui penyediaan peluang pekerjaan semata-mata, justeru kita sedang giat membina ekosistem pekerjaan yang inklusif dan responsif,” katanya.
Khairul Firdaus berkata golongan neurodivergen di Malaysia tidak wajar dilihat sebagai komuniti yang berstatus OKU semata-mata, sebaliknya perlu diiktiraf sebagai aset negara yang memiliki potensi unik dalam sektor berimpak tinggi.
Beliau berkata di Malaysia, terdapat 333,474 individu OKU pembelajaran dengan sebahagian besarnya berada dalam spektrum neurodivergen.
Menyentuh tentang pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara PERKESO dengan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), beliau berkata MoU tersebut mencerminkan komitmen global Kerajaan MADANI terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dalam aspek pendidikan, pekerjaan, ekonomi dan pengurangan ketidaksamaan, terutamanya melibatkan golongan neurodivergen.
-- BERNAMA
