AM

APMM PERAK TAHAN DUA VESEL, LAPAN KRU DI PANGKOR

06/05/2026 08:36 PM

IPOH, 6 Mei (Bernama)  --Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak menahan dua buah vesel serta lapan kru termasuk lima warga Myanmar dalam dua operasi berasingan di perairan Pulau Pangkor, berhampiran Lumut, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata tangkapan pertama melibatkan sebuah vesel pukat tunda kelas C yang ditahan pada 7.34 pagi pada kedudukan 1.9 batu nautika barat daya Pulau Buloh.

“Hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan lima kru warga Myanmar termasuk tekong yang memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Vesel itu disyaki menceroboh zon larangan iaitu kurang daripada 12 batu nautika dari pantai selain menjalankan aktiviti penangkapan ikan di kawasan yang tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya merampas hasil laut kira-kira 400 kilogram (kg) ikan campur dengan nilai keseluruhan dianggarkan melebihi RM3 juta.

Sementara itu dalam operasi berasingan, sebuah lagi vesel pukat tunda kelas B ditahan pada 12.40 tengah hari di kedudukan 5.7 batu nautika barat Pulau Pangkor.

“Hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan disyaki melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985.

“Vesel itu dikendalikan tiga kru termasuk tekong yang kesemuanya warga tempatan, selain turut menemui hasil tangkapan ikan campur dianggarkan seberat 100 kg dengan nilai keseluruhan rampasan melebihi RM1.5 juta,” katanya.

Menurut beliau, semua kru, vesel, peralatan menangkap ikan serta hasil laut daripada kedua-dua kes telah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Kampung Acheh dan Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kampung Acheh untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan