AM

BAYARAN PENDAHULUAN INSENTIF PEMBAJAKAN RM200 SEHEKTAR LEGAKAN PESAWAH - KADA

06/05/2026 11:47 PM

KOTA BHARU, 6 Mei (Bernama) -- Bayaran pendahuluan insentif pembajakan RM200 bagi setiap hektar sawah yang diluluskan kerajaan mampu membantu petani mengurangkan beban kos penanaman padi susulan peningkatan harga bahan api dan input pertanian ketika ini.  

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Mohd Faizul Mustafa berkata bantuan itu penting khususnya bagi pesawah di bawah seliaan agensi berkenaan yang bakal memulakan Musim 1/2026 dalam masa terdekat.  

Beliau berkata peningkatan kadar upah, baja, benih serta diesel memberi tekanan kepada pesawah dan bayaran pendahuluan insentif berkenaan dapat membantu menampung kos awal bagi memastikan aktiviti penanaman padi terus berjalan lancar.  

“Bantuan ini amat penting... seterusnya memastikan kelangsungan aktiviti penanaman padi dan jaminan bekalan makanan negara,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.  

Mohd Faizul berkata KADA juga telah mengambil langkah awal dengan menyediakan bantuan diesel kepada pesawah yang layak mengikut kadar ditetapkan bagi kegunaan pam air untuk memastikan bekalan air ke kawasan sawah dapat diteruskan.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju menyalurkan bayaran pendahuluan itu yang juga sebahagian daripada kadar Bantuan Khas Insentif Pembajakan kepada 240,000 pesawah berdaftar di seluruh negara bagi mengurangkan bebanan mereka.

Inisiatif itu dipersetujui pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara, yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM48 juta.  

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan