EKONOMI

PENDAPATAN ISI RUMAH JOHOR MENINGKAT SEJAK EMPAT TAHUN LEPAS - EXCO

07/05/2026 02:57 PM

ISKANDAR PUTERI, 7 Mei (Bernama) -- Pendapatan isi rumah di Johor meningkat sejak 2022, sekali gus menjadikannya sebagai antara negeri yang mencatatkan pendapatan isi rumah tertinggi di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Lee Ting Han berkata data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan median pendapatan isi rumah negeri pada 2022 adalah sekitar RM6,879 sebulan dengan purata pendapatan isu rumah sekitar RM8,517.

Beliau berkata purata pendapatan isi rumah terus meningkat kepada sekitar RM9,484 sebulan, manakala median pendapatan isi rumah meningkat kepada sekitar RM7,712 sebulan berdasarkan data terkini bagi 2024/2025.

“Ini menunjukkan pertumbuhan ekonomi serta kemasukan pelaburan ke Johor bukan hanya di atas kertas, tetapi turut diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan rakyat,”  katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Lee (BN-Paloh) menjawab soalan lisan Ee Chin Li (DAP-Tangkak), Nor Rashidah Ramli (BN-Parit Raja), Hahasrin Hashim (BN-Panti), Liew Chin Tong (DAP-Perling) dan Liow Cai Tung (DAP-Johor Jaya) berhubung impak pelaburan luar kepada rakyat serta inisiatif bagi menyokong pembangunan syarikat tempatan.

Pada masa sama, Lee berkata Survei Tenaga Buruh oleh DOSM turut menunjukkan kadar pengangguran di Johor setakat akhir 2025, kekal stabil pada paras 2.5 peratus berbanding 2.9 peratus purata nasional.

Dalam pada itu, beliau berkata ekonomi di Johor tidak bergantung kepada pelaburan luar semata-mata.

Katanya, ini dapat dibuktikan apabila Johor merekodkan pelaburan domestik langsung (DDI) sebanyak RM49.5 bilion dan pelaburan asing langsung (FDI) berjumlah RM60.5 bilion pada tahun lepas. 

“Data ini menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi Johor hari ini dipacu secara bersama oleh keyakinan pelabur tempatan dan antarabangsa dan ia penting kerana ekonomi yang sihat memerlukan kedua-duanya berkembang seiring serta saling melengkapi,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan