Daripada Niam Seet Wei
CEBU (Filipina), 7 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini hari ini bagi lawatan dua hari untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 dan Mesyuarat Berkaitan.
Pesawat khas yang membawa Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendarat di Pangkalan Udara Brigadier General Benito N. Ebuen, di sini pada 1.50 tengah hari. Waktu tempatan sama dengan waktu di Kuala Lumpur.
Ketibaan Anwar dan isteri disambut oleh Setiausaha Jabatan Tenaga Filipina Sharon S. Garin, Gabenor Cebu Pamela Baricuatro dan Datuk Bandar Lapu-Lapu City Cynthia King-Chan.
Yang turut hadir ialah Duta Besar Malaysia ke Filipina Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony.
Perdana Menteri turut menerima kawalan kehormatan yang diketuai Brigadier Jeneral Joseph Archog, Komander Sayap Tentera Udara Filipina bagi Sayap Pengangkutan Udara ke-220 serta disambut oleh persembahan sekumpulan penari tradisional di pangkalan udara berkenaan.
Setibanya di sini, Anwar akan menyertai Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia–Filipina (BIMP–EAGA) yang diadakan bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN, dengan perbincangan tertumpu kepada pembangunan subwilayah.
Kemudian, beliau akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat dari Laos dan Singapura, sebelum menghadiri majlis makan malam pemimpin BIMP–EAGA yang diraikan oleh Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos Jr dan isteri Louise Araneta-Marcos.
Pada 8 Mei, Perdana Menteri dijadualkan menghadiri perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 dan dijangka mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat dari Vietnam dan Thailand selepas itu.
Anwar juga akan menyertai majlis makan malam gala yang dihoskan Marcos dan isteri sebelum berlepas pulang ke tanah air.
Dalam kenyataan semalam, Kementerian Luar memaklumkan sidang kemuncak berkenaan akan menjadi peluang bagi Malaysia berkongsi dan bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu berhubung pembinaan Komuniti ASEAN dan hala tuju masa depan.
Perbincangan juga akan tertumpu kepada kesan krisis di Asia Barat terhadap rantau Asia Tenggara, tindak balas ASEAN ke arah memastikan keterjaminan tenaga dan makanan serantau, serta keselamatan warga ASEAN di kawasan terjejas.
Filipina mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN daripada Malaysia pada 1 Jan 2026.
Bertemakan “Navigating Our Future, Together,” republik itu, sepanjang tempoh kepengerusiannya berusaha memacu keutamaan ASEAN menerusi tiga teras utama, iaitu Tonggak Keamanan dan Keselamatan, Koridor Kemakmuran, dan Pemerkasaan Rakyat.
-- BERNAMA
