AM

WARGA EMAS JATUH TALI AIR DITEMUKAN LEMAS

07/05/2026 07:05 PM

SUNGAI PETANI, 7 Mei (Bernama) -- Seorang warga emas berusia 83 tahun yang hilang selepas dipercayai terjatuh di kawasan tali air di Kampung Padang Tengah, Tikam Batu di sini pada Ahad lepas, ditemukan lemas hari ini. 

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan I Mohd Nordin Mohd Arshad berkata pihaknya menerima panggilan pada 11.32 pagi tadi memaklumkan tentang penemuan mayat Mohamad Khalid@Halim Salleh.

"Setibanya di lokasi, kami dimaklumkan bahawa mayat mangsa ditemukan di belakang sebuah rumah kosong, kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa disyaki hilang.

"Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak forensik polis untuk proses selanjutnya. Operasi tamat pada 1.35 tengah hari tadi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan warga emas terbabit dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam tali air berdekatan rumahnya pada Ahad, susulan penemuan sehelai selimut milik mangsa di tepi tali air itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan