EKONOMI

CORONATION SQUARE DIUNJUR JANA EKONOMI RM9 BILION, 60,000 PELUANG KERJA - ONN HAFIZ

07/05/2026 06:37 PM

JOHOR BAHRU, 7 Mei (Bernama) -- Pembangunan bersepadu Coronation Square bakal menjadi pemangkin utama transformasi struktur ekonomi Johor, yang diunjurkan menjana lebih RM9 bilion dalam limpahan ekonomi. 

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata projek mercu tanda yang terletak di dalam Daerah Perniagaan Antarabangsa Ibrahim (IIBD) itu dijangka mewujudkan sehingga 60,000 peluang pekerjaan, sejajar dengan visi Maju Johor 2030. 

“Hasil ini selaras dengan visi Maju Johor 2030 kami iaitu menjadikan Johor sebuah negeri maju, dengan memberi tumpuan kepada pendapatan tinggi, pekerjaan berkualiti dan pembangunan bandar yang mampan. 

“Projek ini merupakan bahagian penting dalam ekosistem bandar yang lebih luas, yang dibangunkan secara strategik untuk menjadikan semula bandar ini sebagai hab metropolitan yang berdaya saing,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah Coronation Square Mall di Galeri Jualan Coronation Square di sini hari ini.

Beliau berkata pembangunan tersebut berlaku tepat pada masanya ketika Johor berjaya mencatatkan rekod pelaburan diluluskan sebanyak RM110 bilion pada 2025, yang mewujudkan lebih 34,000 pekerjaan. 

Onn Hafiz berkata kejayaan Coronation Square diperkukuhkan oleh ketersambungan strategiknya, khususnya hubungan langsungnya dengan stesen Sistem Transit Rapid (RTS) Bukit Chagar, yang dijangka beroperasi menjelang akhir 2026. 

“Ini akan membolehkan pergerakan orang ramai, bakat dan perniagaan yang lebih pantas serta cekap antara Johor dan Singapura, seterusnya memperkukuhkan lagi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ),” tambahnya. 

Menteri Besar itu turut berkongsi bahawa komponen kediaman Coronation Square telah dijual sepenuhnya, sekali gus mencerminkan keyakinan kukuh pasaran terhadap IIBD sebagai komuniti yang ceria untuk didiami dan bukan sekadar zon komersial. 

“Dengan asas yang kukuh, hala tuju yang jelas dan rakan kongsi yang komited, saya yakin Johor akan terus muncul sebagai kuasa ekonomi terkemuka di rantau ini,” katanya. 

Sementara itu, Pengarah Urusan Coronade Properties Datuk Patrick Lim berkata majlis pecah tanah hari ini menandakan bermulanya fasa seterusnya dalam visi untuk menjadikan Johor Bahru sebagai pusat bandar yang terhubung dan ceria.

“Coronation Square direka bentuk sebagai ‘bandar di dalam bandar’, dengan menggabungkan infrastruktur, perniagaan dan komuniti di dalam satu pembangunan bersepadu.

“Ketika kami melangkah ke Fasa 2 dengan Coronation Square Mall, kami membina lebih daripada peruncitan, kami sedang mewujudkan ekosistem yang menyokong perniagaan bagi memenuhi keperluan harian komuniti,” katanya. 

Coronation Square Mall yang dijangka menjadi mercu tanda peruncitan terbesar di pusat bandar itu, merupakan kerjasama antara Coronade Properties Sdn Bhd dan CapitaLand Investment Ltd.

Bertemakan ‘Coronation Square -  Tempat Dunia Bertemu Johor’, pusat beli-belah itu dikategorikan sebagai destinasi gaya hidup premium, yang menggabungkan gabungan peruncitan dan jenama dari Malaysia, Singapura serta rantau ini.

Yang turut hadir, Konsul Jeneral Singapura ke Johor Bharu, Ng Kuan Khai serta Penasihat Ekonomi dan Pelaburan Johor Datuk Seri Hasni Mohammad.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan