AM

SABAH RANGKA PELAN NAIK TARAF INFRASTRUKTUR SOKONGAN KRITIKAL DI SEMPORNA - HAJIJI

07/05/2026 07:11 PM

KOTA KINABALU, 7 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah sedang merangka keperluan untuk menaik taraf infrastruktur sokongan yang kritikal di Semporna dalam usaha menyokong pertumbuhan sektor pelancongan marin berimpak tinggi dan lestari.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata ia termasuk pemodenan kemudahan jeti dan jaringan logistik, pembangunan rantaian bekalan sejuk yang komprehensif bagi menjamin kualiti hasil laut, pembukaan akses lebih luas ke pasaran eksport antarabangsa serta penyediaan kemudahan pelancongan awam yang lebih teratur, selamat dan bertaraf dunia.

Beliau berkata kawasan tumpuan seperti Pulau Mabul dan Pulau Kapalai kini berdepan tekanan kepadatan dan pembangunan yang semakin pesat sekali gus menuntut pendekatan pengurusan lebih berhemat.

“Jika tidak diurus dengan baik, kita berisiko merosakkan aset semula jadi yang menjadi lubuk emas ekonomi negeri. Kelestarian mesti dilihat sebagai satu pelaburan, bukan bebanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hajiji berkata setiap pembangunan di Semporna perlu berteraskan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi memastikan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan kelestarian jangka panjang.

Beliau berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk pembangunan yang hanya mengejar keuntungan jangka pendek sehingga menjejaskan masa depan negeri.

Menurut Hajiji, Semporna berupaya muncul sebagai hab pelancongan marin lestari bertaraf dunia, pusat akuakultur moden serta pengeluar makanan laut premium utama negara, boleh menjadi model pembangunan ekonomi komuniti pesisir serta pusat rujukan kecemerlangan Ekonomi Biru Sabah.

Bagaimanapun beliau berkata agenda pembangunan besar di Semporna tidak akan menjadi realiti tanpa kepimpinan akar umbi yang kukuh serta komitmen tinggi terhadap prinsip kelestarian.

Oleh itu, beliau menyeru pemimpin setempat agar memainkan peranan lebih proaktif sebagai “penjaga utama” ekosistem dengan membantu penguatkuasaan peraturan, membanteras aktiviti tidak mampan, menggerakkan kempen kesedaran dalam komuniti dan menggalakkan penglibatan generasi muda dalam sektor Ekonomi Biru yang dipacu inovasi dan teknologi moden.

“Apa yang kita rancang dan laksanakan hari ini adalah janji kita kepada generasi akan datang agar mereka mewarisi lautan yang bukan sahaja kaya dengan keindahan semula jadi tetapi juga subur dengan peluang ekonomi yang menjamin kesejahteraan hidup,” katanya.

Hajiji berkata Semporna telah mendahului beberapa inisiatif penting yang boleh dijadikan penanda aras khususnya dalam sektor pelancongan marin berimpak tinggi dan lestari.

Mengambil contoh Pulau Sipadan, Hajiji berkata mereka telah berjaya melaksanakan sistem kuota pelawat harian yang kini menjadi model pengurusan pelancongan bernilai tinggi dan mampan sekali gus memastikan keseimbangan antara pemuliharaan alam sekitar dan aktiviti ekonomi.

“Di Taman Marin Tun Sakaran pula, kita menyaksikan sinergi harmoni antara pelancongan, pemeliharaan biodiversiti dan penglibatan komuniti setempat. Inilah asas kepada konsep pelancongan berasaskan komuniti yang kita mahu perluas kerana ia memastikan kekayaan alam Semporna dipulangkan semula kepada rakyatnya,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri kini mempergiat usaha mentransformasikan sektor akuakultur marin bagi mewujudkan anjakan daripada pengeluaran bahan mentah kepada ekonomi berasaskan nilai tambah.

Antara fokus utama, katanya ialah peluasan zon akuakultur bersepadu berskala komersial, pengenalan teknologi sangkar laut moden yang lebih efisien dan mesra alam, memberi sokongan padu kepada pengusaha rumpai laut bagi meningkatkan produktiviti serta memastikan kualiti hasil bertaraf eksport.

“Pada masa sama, kita juga berusaha menarik pelaburan berimpak tinggi dalam sektor pemprosesan hiliran hasil laut supaya rantaian nilai ekonomi dapat dikuasai secara menyeluruh,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan