KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Ketika media Malaysia menyesuaikan diri dengan persekitaran berita yang kian dipacu oleh Kecerdasan Buatan (AI), para pemimpin industri berpandangan meskipun mengikuti perkembangan peraturan yang sentiasa berubah adalah penting, ia tidak seharusnya mengorbankan prinsip teras kewartawanan iaitu kepercayaan awam.
Bercakap pada sesi Forum Media HAWANA 2026 bertajuk Shaping the Future of Malaysian Media in the Digital and AI Era, Pengarah Urusan Free Malaysia Today Azeem Abu Bakar berkata pengamal media mempunyai tanggungjawab profesional untuk mengikuti perkembangan peraturan digital khususnya yang berkaitan dengan keselamatan dalam talian dan maklumat palsu.
Beliau merujuk Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 sebagai contoh perundangan yang bertujuan mewujudkan ekosistem digital lebih selamat dengan mempromosikan ketepatan maklumat, membendung maklumat palsu, melindungi kanak-kanak dan menangani penipuan dalam talian.
“Tanggungjawab kita ialah untuk sentiasa peka dengan peraturan... kegagalan untuk mematuhinya boleh membawa implikasi undang-undang namun yang lebih penting, ia membantu mengekalkan kepercayaan terhadap sistem media yang kita kendalikan.
“Pada akhirnya, hubungan kita ialah dengan audiens... jika tidak lagi mempercayai kita, mereka akan menghentikan interaksi dengan kita, dan tindakan itu pastinya akan merugikan industri,” katanya.
Pada masa sama, Azeem mengingatkan bahawa peraturan tidak seharusnya terlalu ketat, dan berkata ketidakfleksibelan yang berlebihan boleh secara tidak sengaja menjejaskan kebebasan media serta memperlahankan pembangunan inovasi AI.
“Sesetengah peraturan mungkin berisiko menyekat maklumat... undang-undang digubal oleh manusia tetapi sebagai pengamal media profesional, kita harus berpaksikan kepada kewartawanan yang jujur.
“Peraturan itu wujud sebagai rujukan dan untuk kita patuhi tetapi kita harus sentiasa bertanya kepada diri sendiri sama ada kita jujur dengan audiens kita,” katanya.
Selain Azeem, sesi itu menampilkan Arkitek Penyelesaian Awan Huawei Malaysia Cheah Chern Au serta pakar AI dan Transformasi Digital Charles Gregory.
Sementara itu, Charles berkata walaupun dasar berkaitan AI sedang dirangka di pelbagai peringkat di pihak kerajaan dan platform digital, perundangan yang terlalu tidak fleksibel boleh menghalang kemajuan teknologi.
“Peraturan ialah sebahagian daripada batasan kita… sudah ada dasar AI nasional seperti yang diperkenal di Singapura serta kawalan di peringkat platform namun belum ada yang terlalu ketat... jika kita terlalu tidak fleksibel, (inovasi) AI tidak dapat berkembang dan perkara itu berbahaya untuk kemajuan,” katanya.
Beliau juga berkata landskap digital semasa masih terdedah kepada manipulasi khususnya oleh individu yang mampu mengeksploitasi enjin carian dan sistem AI.
“Untuk beberapa tahun akan datang, sesiapa yang tahu cara memanipulasi sistem carian dan AI mungkin mempunyai kelebihan yang tidak adil... model AI menyerap apa sahaja data yang dimasukkan ke dalamnya sama ada benar atau rekaan.
“Sebab itu, tadbir urus dan niat amat penting... jika sesuatu berpotensi untuk memudaratkan atau berbahaya, perlu ada panduan yang wajar,” katanya.
Forum Media HAWANA, anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), menjadi program pembukaan bagi acara yang diadakan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026.
Dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, forum itu menghimpunkan ketua organisasi media termasuk dari Sabah dan Sarawak, wakil agensi media asing di Malaysia serta pihak berkepentingan daripada pelbagai sektor dalam landskap media negara.
Dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana, HAWANA ialah platform utama negara dalam mengiktiraf dan menghargai sumbangan, dedikasi serta profesionalisme pengamal media di Malaysia.
-- BERNAMA
